Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah keluar waran tangkap Jho Low, 4 individu

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dilaporkan mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan kontroversi yang menjadi buruan polis, Low Taek Jho, atau Jho Low, dan empat individu lagi.

Empat individu itu ialah Eric Tan Kim Loong, 40, Tang Keng Chee, 53, Geh Chong Heng, 47, yang ketiga-tiganya merupakan pegawai 1MDB dan seorang wanita, Loo Ai Swan, 45, bekas peguam 1MDB.

Tengah hari tadi, mahkamah membuat pendakwaan tanpa kehadiran (in absentia) terhadap lima individu itu. Pendakwaan bagaimanapun tidak dibacakan di depan hakim.

Jho Low berdepan lima pendakwaan pengubahan wang haram berjumlah AS$1.03 bilion.

Dia juga berdepan pertuduhan berasingan bersama Eric Tan Kim Loong yang merupakan kenalannya, berhubung pengubahan wang haram melibatkan AS$125.97 juta.

Melalui carian efiling mahkamah, Jho Low dan keempat-empat individu itu sepatutnya didakwa hari ini secara in absentia iaitu tanpa ketidakhadiran tertuduh, di empat Mahkamah Sesyen berasingan.

Menurut sumber, kes itu akan dikendalikan beberapa pegawai polis namun selepas wartawan dan jurufoto menunggu sejak 8 pagi, tiada pegawai polis yang hadir dan tiada sebarang prosiding berlangsung.

Seorang polis mahkamah kemudian memaklumkan tiada sebarang prosiding akan dijalankan dan waran tangkap akan dikeluarkan terhadap Jho Low dan kesemua individu itu.

Media sebelum ini melaporkan, Jho Low yang diburu polis dan dikehendaki Malaysia, Singapura dan beberapa negara lain dipercayai bersembunyi di China atau Abu Dhabi namun sehingga kini tidak diketahui di mana sebenarnya dia berada.

Pada 15 Jun lalu Jabatan Imigresen membatalkan pasport ahli perniagaan itu atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia susulan siasatan skandal 1MDB.

Pada 24 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low dan bapanya, Tan Sri Low Hock Peng juga bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS