Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata tiada keperluan untuk mengasingkan hasil cukai mudarat (sin tax) daripada hasil terkumpul negara.

Jelas Wan Salim, hasil daripada pelbagai jenis punca yang masuk ke dalam perbendaharaan negara dianggap halal.

“Dalam Islam tiada tuntutan untuk diasingkan cukai yang terkumpul daripada sumber-sumber halal dan haram, sebab apabila cukai daripada pelbagai sumber dimasukkan ke dalam perbendaharaan negara maka ia dikira suatu elemen baharu sebagai harta yang disatukan dan hukumnya adalah bersih dan halal.

“Jadi apa yang diberikan kepada penjawat awam itu ialah sesuatu yang baru (daripada percampuran pelbagai sumber hasil), semuanya halal lah,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Anggota Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof yang meminta hasil cukai mudarat diasingkan daripada hasil biasa supaya gaji kakitangan awam dapat dipastikan datang daripada sumber yang halal.

Beliau turut mencadangkan agar hasil cukai mudarat seperti perjudian boleh digunakan untuk tujuan pembangunan.

Cukai mudarat merupakan hasil cukai yang diperoleh daripada perkara-perkara yang dianggap boleh mendatangkan mudarat kepada masyarakat. 

Dalam konteks Malaysia, penjualan alkohol, perjudian, rokok dan seumpamanya tergolong dalam kategori cukai mudarat.

Cukai adalah tanggungjawab

Mengulas lanjut, Wan Salim menjelaskan bahawa dalam kerajaan Islam dahulu, hasil cukai mudarat seperti daripada penjualan arak yang masuk ke dalam perbendaharaan negara tetap digunakan untuk perbelanjaan negara.

“[...] Dalam kerajaan Islam dahulu, pendapatan negara datang daripada pelbagai sumber, ada yang jual arak, dan disatukan dalam perbendaharaan negara dan dikeluarkan untuk perbelanjaan seperti biasa.

“Kalau tak silap saya, (hal ini) pernah diputuskan oleh muzakarah fatwa kebangsaan,” tambahnya lagi.

Berdasarkan pemeriksaan di laman web rasmi mufti wilayah persekutuan, dijelaskan bahawa cukai mudarat (untuk arak dan judi) adalah dibenarkan, tetapi terdapat khilaf dalam pelaksanaannya.

Ada ulama yang berpendapat cukai tersebut perlu diasingkan daripada sumber halal dan hanya digunakan untuk kepentingan orang bukan Islam.

Sementara itu ada juga ulama yang berpendapat tidak perlu diasingkan dan ia boleh digunakan untuk kepentingan umum.

Bagaimanapun, berdasarkan pemeriksaan Malaysiakini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-104 yang bersidang pada 2-4 September 2013 telah membuat keputusan bahawa tidak menjadi kesalahan kepada pihak kerajaan untuk mengenakan cukai kepada sesebuah syarikat, sekalipun wujud kemungkinan sumber yang tidak halal.

Hal ini kerana pembayaran cukai disifatkan sebagai satu tanggungjawab kepada kerajaan untuk maslahah ummah. 

Sekiranya wujud aktiviti yang haram, maka sifat haram tersebut hanyalah pada zimmah pemilik syarikat tersebut bukan kepada orang yang berurusan dengannya.

Fatwa penuh boleh didapati daripada bab 3 perkara 43: Status Hasil Caj Abstraksi Sumber Air Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) Daripada Syarikat Yang Menjalankan Aktiviti Operasi Harian Tidak Halal (2013) dalam kompilasi pandangan hukum, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Berdasarkan data yang diperolehi daripada Galen Centre for Health and Social Policy, purata RM5.1 bilion hasil (antara 2012-2017) dikutip kerajaan daripada cukai mudarat yang melibatkan produk berasaskan tembakau dan alkohol, dan angkat tersebut dijangka meningkat kepada RM6.1 bilion pada tahun ini. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS