Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan dimasukkan dalam buku sejarah tidak lama lagi, kata bekas perdana menteri, Najib Razak.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkata, ada masa dan tempat untuk berpolitik dan sekolah bukan salah satu daripadanya. Menurut beliau pelajar sekolah tidak patut diperalat dan dianiaya masa depan mereka.
"Saya rasa tak lama lagi Maszlee sendiri akan masuk dalam buku sejarah. Ada masa dan tempatnya kita berpolitik, dan bukan di sekolah.
"Jangan peralatkan anak-anak kecil kita, jangan aniaya masa depan mereka," kata Najib.
Maszlee hari ini mememberi jaminan skandal 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia agar generasi masa depan tidak akan mengulanginya.
Ketika sesi soal jawab, di Dewan Negara, hari ini, katanya, begitu juga dengan jenayah besar yang dilakukan ahli politik seperti menyamun harta negara.
Maszlee yang berucap bagi kementeriannya berkata demikian ketika menyentuh usaha mengkaji semula subjek Sejarah di sekolah.
Beliau bagaimanapun tidak menyebutkan secara spesifik sama ada isu 1MDB akan dimasukkan dalam kurikulum sekolah.
Anggota parlimen Simpang Renggam itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang mengingatkan bahawa sejarah buruk akan diulangi jika rakyat tidak tahu tentang sejarah.