Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Insya-Allah Sarawak akan tukar kerajaan, kata Dr M
Diterbitkan:  Dec 1, 2018 10:35 PM
Dikemaskini: 3:36 PM

Pilihan raya negeri di Sarawak yang akan diadakan kurang tiga tahun lagi kemungkinan bakal menyaksikan pertukaran kerajaan, kata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

"Insya Allah di Sarawak ada state election (pilihan raya negeri), kita dapat tukar kerajaan," 

"Inilah harapan kita, inilah perjuangan kita. Selagi kita pegang kepada perjuangan kita yang mulia ini, akhirnya kita akan berjaya," kata Mahathir ketika berucap pada majlis pelancaran parti itu di Bintulu malam ini.

Pilihan raya negeri Sarawak diadakan secara berasingan daripada pilihan raya umum dan akan diadakan pada tahun 2021.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sebelum ini menang besar dalam pilihan raya negeri 2016 di bawah bendera BN, memperolehi 72 daripada 82 kerusi.

Kemenangan tersebut disebabkan sokongan padu terhadap bekas ketua menterinya, Allahyarham Adenan Satem yang antara lain konsisten dalam memperjuangkan hak autonomi Sarawak.

Dalam ucapannya, Mahathir berkata ramai rakyat Sarawak masih ketinggalan walaupun negara telah lama mencapai kemerdekaan.

"Mungkin kerana Sarawak besar, mungkin wakil rakyat tak mampu, bila nampak tempat jauh walaupun jadi wakil rakyat tapi mereka tak lawat kawasan mereka," katanya.

'Duit untuk bekalkan elektrik diselewengkan'

Beliau dalam pada itu turut menyentuh mengenai skandal projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

"Kita lihat ada sekolah-sekolah yang saya diberitahu buruk sekali. Ada juga cadangan oleh kerajaan pusat nak bekal semua sekolah dengan air dan elektrik tetapi duit itu diselewengkan," katanya.

Dilaporkan awal Jun terdapat kemungkinan berlaku penyelewengan dalam pemberian kontrak bagi projek tenaga solar bernilai RM2.5 bilion untuk sekolah-sekolah luar bandar Sarawak berikutan arahan bekas pimpinan negara sebelum ini.

Isteri bekas perdana menteri, Rosmah Mansor dan bekas pembantunya Rizal Mansor didakwa turut terpalit dalam skandal itu, manakala bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid masih disiasat.

Dengan pelancaran Bersatu di Sarawak, parti itu kini berjaya menembusi kesemua negeri kecuali di Sabah. 

Sebelum ini Umno yang pernah dipimpin Mahathir merancang untuk bertapak di Sarawak tetapi gagal berbuat demikian.

Dalam ucapannya Mahathir berkata Bersatu melebarkan sayapnya ke Sarawak kerana mendapat permintaan tinggi daripada rakyat negeri itu sendiri.

Turut hadir pada majlis itu ialah isterinya, Siti Hasmah Mohd Ali, timbalan presiden Bersatu Mukhriz Mahathir dan penyelaras Bersatu Sarawak, Redzuan Ismail.

Hadir sama ialah Ketua DAP Sarawak Chong Chien Jen, Naib Ketua PKR Sarawak Ali Biju dan Pengerusi Amanah Sarawak, Mohamad Fidzuan Zaidi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS