Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Himpunan 8 Dis untuk 'ajar' menteri, kata Hadi
Diterbitkan:  Nov 30, 2018 3:17 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

PAS akan tetap mengadakan himpunan di Kuala Lumpur pada 8 Dis ini sebagai langkah untuk "mengajar" sesetengah menteri, kata Abdul Hadi Awang.

Menurut presiden PAS itu sebelum ini perdana menteri sudah menegaskan pendirian kerajaan bahawa Putrajaya tidak akan menerima Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Namun kata Abdul Hadi masih ada menteri yang membuat kenyataan yang menunjukkan seolah-olah Icerd itu akan diterima juga suatu hari nanti.

"Mengapa diteruskan (himpunan itu), kerana kita ada pandangan politik.

"Pandangan politik kita ialah apabila ada menteri-menteri buat kenyataan nak tangguh lagi, tunggu-tunggu," katanya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila, Marang.

Katanya keadaan itu menunjukkan kerajaan pusat kini dalam keadaan bercelaru, justeru perlu ada penegasan dibuat.

Mustahil itu benda tak ada

Menurut anggota parlimen Marang itu lagi menteri kabinet perlu menghormati perdana menteri.

"Jadi kalau menteri tak hormati perdana menteri, kita kena tunjuklah," katanya lagi.

Sebelum ini ada PAS bersama Umno dan pertubuhan bukan kerajaan menganjurkan himpunan menolak Icerd di Kuala Lumpur sebelum Putrajaya menegaskan untuk tidak menerima konvensyen berkenaan.

Ekoran pengumuman itu penganjur menegaskan himpunan tersebut akan tetap dijalankan namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Pada masa sama beberapa pemimpin pembangkang meragui komitmen diberi perdana menteri dan menjangkakan pendirian itu akan berubah.

Abdul Hadi berkata memang sebelum ini Dr Mahathir Mohamad menyatakan mustahil untuk negara ini menerima Icerd.

"Apabila (perdana menteri kata) mustahil itu, tidaklah. Mustahil (ini) benda yang tak mungkin ada.


Baca Mufti Kelantan gesa himpunan anti-Icerd tak diteruskan


"Kalau menteri buat kenyataan kemudian pula, itu hendak mengatasi perdana menterilah. Perdana menteri telah buat kenyataan, apa lagi menteri lain buat?

“Semua menteri pakat buat kenyataan belaka, jadi celarulah. Sebab itu ada orang kata, kena ‘mengaji’ menteri ini, kena belajar.

"Perlu diajar menteri-menteri ini supaya faham,” katanya.

Abdul Hadi juga memberi jaminan himpunan tersebut akan berlangsung secara terkawan dan mereka memberi kerjasama kepada polis.

“Kami akan keluar seramai-ramai dan dijangka ramai yang hadir. Dan kita kawal supaya tak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, tak berlaku provokasi, kita akan kawal.

“Saya beri jaminan dan kita bekerjasama dengan polis. Kita pergi berunding dengan polis, bincang dengannya untuk jaga, kawal, insya-Allah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS