Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis temui lapan senjata api tiruan di Jalan Klang Lama
Diterbitkan:  Nov 30, 2018 12:16 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Polis menemui lapan senjata api dipercayai tiruan, termasuk sepucuk pistol di sebuah premis di Jalan Klang Lama di Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pistol dan senjata api jenis HK MP5 (Heckler & Koch MP5) ditemui oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

“Turut ditemui adalah sebuah topi yang mempunyai logo polis di dalam premis itu.

“Mahkamah telah mengeluarkan arahan penyitaan terhadap premis itu 30 Okt lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk menghubungi Insp Mohd Razif di talian 013-9961566 atau ASP Mohd Hafizi Ishak di talian 017-2336343.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Sementara itu, di Jeli, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menemui tiga laras senjata api jenis AK-47 yang tertanam di satu kawasan belukar berdekatan Kampung Gemang, Ayer Lanas.

Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Muhammad Huzaimi Sabri berkata tiga laras senjata api itu ditemui pada pukul 4.20 petang semalam oleh anggotanya ketika melaksanakan Ops Merpati di kawasan itu.

Beliau berkata dalam operasi oleh sub-unit Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RDD), pasukan itu menemui satu kesan tanah yang baru digali di tepi sungai ketika meronda di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, kita menemui senjata itu yang diletakkan dalam guni yang ditanam di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini, dan menambah ketiga-tiga senjata dipercayai dibawa masuk dari Thailand.

"Tiada tangkapan susulan penemuan itu dan ketiga- tiga senjata itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Jeli untuk siasatan lanjut," tambahnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS