Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rusuhan di kuil, perkauman dan sikap tuding jari

ULASAN | Banyak yang telah diperkatakan mengenai kejadian rusuhan bersiri di Seafield, Subang Jaya. Setiap orang ada versi ceritanya sendiri.

Saya baca komen di internet dan mesej yang tular di kalangan orang bukan Melayu yang sumpah seranah Umno dan PAS sebagai punca kejadian itu. 

Saya juga baca komen dan mesej perkauman yang tular di kalangan orang Melayu, yang mengingatkan bagaimana ketuanan Melayu telah terhakis sejak kerajaan persekutuan baru berkuasa.

Komen-komen di Malaysiakini atau portal berita bahasa Inggeris yang pembacanya kebanyakannya orang bandar dan bukan Melayu; juga kencang meniupkan api perkauman. 

Ada komen-komen ini yang menyalahkan pihak polis kerana kononnya sengaja membiarkan siri rusuhan itu berlaku.

Setiap kisah ada versi yang berbeza, ikut perawinya. Selalunya versi yang paling jujur berada di tengah-tengah versi-versi dan perawi-perawi yang berbeza ini.

Malangnya di Malaysia, setiap dari kita masih tebal dengan bias perkauman dan keagamaan. Paling teruk, sudah menjadi kebiasaan menuding jari kepada orang lain dan menyalahkan orang lain sebagai bersifat perkauman. 

Jarang sekali kita muhasabah diri dan menerima hakikat yang setiap dari kita ada bias perkauman dan keagamaan sendiri.

Sudah menjadi kebiasaan di kalangan orang bukan Melayu yang saya dampingi (dan saya ada kawan bukan Melayu yang jauh lebih ramai berbanding orang Melayu biasa) yang percaya masalah perkauman di negara ini hanya berpunca dari sebelah pihak: orang Melayu dan Islam.

Begitu juga tempangnya pandangan sebahagian besar orang Melayu. Ramai orang Melayu (termasuklah yang terpelajar) yang sentiasa marah dan curiga dengan orang bukan Melayu, kerana orang Melayu ini merasakan orang bukan Melayu menindas orang Melayu (walaupun perasaan itu tidak bersandarkan logik yang kukuh).

Fahami kebimbangan kaum lain

Sebab itu, apabila satu peristiwa yang penuh beremosi begini berlaku, sangatlah mudah untuk kita dipengaruhi oleh bias perkauman kita sendiri.

Mudah untuk orang India dan bukan Melayu merasakan ada konspirasi di kalangan orang Melayu untuk menceroboh kuil itu, sehinggakan ada tuduhan anggota polis sengaja tidak bertindak segera untuk memberi ruang kepada samseng Melayu masuk ke kuil.

Mudah juga untuk orang Melayu berasa marah dan menyalahkan keseluruhan orang India atas kejadian beberapa penjenayah yang memukul anggota bomba Muhammad Adib Kassim (yang kini bertarung dengan nyawa).

Peristiwa seperti ini akan terus berulang di masa hadapan. Berlaku berulang kali, tidak kira parti mana menjadi kerajaan persekutuan. Tidak kira sama ada PAS dan Umno meneruskan perhimpunan anti-Icerd yang dirancang, atau sama ada kerajaan persekutuan menandatangani ratifikasi Icerd atau tidak.

Peristiwa-peristiwa sebegini akan terus berlaku selagi kita memilih untuk menilai segala-galanya dari lensa dan bias perkauman yang kita ada.

Ada beberapa perkara yang kita boleh buat untuk mengelakkannya berlaku lagi (bukan menyalahkan orang lain atau menunggu orang lain bertindak dahulu).

Kita mesti menerima hakikat bahawa setiap dari kita (Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayah, Dusun, semuanya) ada bias perkauman yang perlu kita buang.

Kita tidak boleh mengutuk kumpulan lain dan menuduh mereka meniupkan api perkauman, tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu menerima hakikat yang kita pun tidak kurang bezanya, cepat mengambil perspektif perkauman dalam menilai sesuatu perkara.

Setiap kali ada peristiwa begini atau isu yang mudah menyambar api perkauman, kita mesti objektif dan belajar memahami perasaan dan kedudukan kumpulan yang lain.

Orang Melayu mesti belajar memahami latar belakang kebimbangan orang bukan Melayu, sama seperti orang bukan Melayu tidak boleh terus memandang orang Melayu dengan stereotaip pemalas dan bodoh (terutamanya kalau ada perkara yang tidak dipersetujui, mudah mengetepikan pandangan orang Melayu sebagai pandangan tidak berpendidikan).

Akhir sekali, cubalah untuk mempunyai lebih ramai sahabat yang berbilang bangsa. Hanya dengan saling mengenali melalui persahabatan, kita boleh memahami kebimbangan masing-masing dan keluar dari prejudis perkauman.

Jika kita terus memberi alasan dan menyalahkan semua yang lain (salah sekolah kebangsaan, salah daging babi, salah Taliban) kerana kita hanya duduk di dalam kelompok kita dan mengulangi pandangan perkauman kelompok kita, sebenarnya kitalah punca masalah perkauman di negara ini.


RAFIZI RAMLI merupakan bekas naib presiden PKR.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS