Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad berkata keputusan sebahagian besar tokoh agama dan mufti di negara ini membantah cadangan kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) adalah kerana melihat ia membawa banyak kemudaratan berbanding kebaikan dalam konteks negara ini.
Jelas Mohamad Shukri, meskipun Islam menolak diskriminasi, namun tiada keperluan untuk negara ini meratifikasi Icerd.
Justeru, katanya, sesuatu keputusan yang indin dibuat perlu melihat kepada situasai semasa dan mengambil kira kesannya jika perkara itu dilaksanakan.
"Kita perlu melihat kepada realiti negara kita... Kita (golongan agamawan) memberi pandangan mengikut situasi negara kita.
"Kita tentang Icerd ini kerana kita lihat keburukan lebih besar jika dilaksanakan sebab itu kita tolak," katanya ketika dihubungi Malayasiakini, petang tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada forum bertajuk Icerd: Ya atau Tidak yang berlangsung di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur/Selangor di ibu negara semalam.
Forum berkenaan menampilkan ahli panel termasuk Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya; Pensyarah Undang-Undang, Dr Azmin Sharom dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Zaid Kamaruddin.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada pada 23 Nov lalu mengesahkan untuk tidak meratifikasi Icerd selepas mendapat bantahan pihak yang bimbang konvensyen berkenaan menjejaskan kedudukan istimewa Melayu dan Islam.
Semantara itu, Mohamad Shukri menambah bahawa masyarakat berbilang kaum di negara ini hidup dalam suasana aman damai tanpa sebarang diskriminasi meskipun Islam diletakkan sebagai agama persekutuan.
"Di sini (Malaysia) apa yang bukan muslim tidak dapat? Nak mengamalkan agama masing-masing tidak ada masalah, nak ke kuil tidak dihalang, bahkan bahasa ibunda masing-masing dapat dipelajari.
"Oleh itu Icerd tidak relevan untuk dilaksanakan di negara ini," jelasnya.