Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kuil jadi alasan gagalkan himpunan PAS?
Diterbitkan:  Nov 27, 2018 10:21 AM
Dikemaskini: 2:21 AM

Ketua penerangan PAS berkata beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu cuba memanfaatkan ketegangan isu kuil di Subang Jaya itu untuk menghalang himpunan yang dianjurkan parti itu pada bulan depan.

Menurut Nasrudin Hassan kejadian terbabit - yang turut melibatkan keganasan dan kecederaan pada awal pagi tadi - boleh dijadikan titik tolak kepada usaha menggagalkan himpunan berkenaan.

"Saya tidak boleh mengetepikan kemungkinan terdapat usaha pihak tertentu untuk menjadikan insiden rusuhan di USJ sebagai turning point bagi menghalang himpunan aman rakyat membantah Icerd yang dijangka berlangsung pada 8 Disember 2018 akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS bersama Umno dan pertubuhan bukan kerajaan merancang untuk mengadakan himpunan di Kuala Lumpur sebagai desakan kepada kerajaan menolak penerimaan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Bagaimanapun Putrajaya sudah mengesahkan secara rasmi untuk tidak meratifikasi Icerd.

PAS dan penganjur bersama menegaskan himpunan berkenaan akan tetap dijalankan dan ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Semalam memetik kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man BH Online melaporkan himpunan tersebut terpaksa diteruskan kerana penganjur dan peserta sudah membuat tempahan bas serta hotel.

Kata anggota parlimen Kubang Kerian itu himpunan tersebut perlu diteruskan bagi mengelak kerugian dan kekecewaan penganjur dan peserta.

Nasrudin berkata memang ada pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh melalui provokasi tertentu supaya wujud ketegangan di negara ini.

Katanya pihak terbabit melaga-lagakan orang Islam dan Melayu dengan kumpulan lain.

"Sementara mereka (pula) cepat sembunyi diri setelah melontar batu," katanya berkias.

Pada masa sama Nasrudin juga menegaskan Islam dan umatnya yang berpegang teguh dengan syariat tidak akan menyerang rumah ibadat agama lain.

"Malah Islam melarang penganutnya menghina sembahan pihak lain," katanya.

Menurut bekas anggota parlimen Temerloh itu himpuan yang dianjurkan itu akan berlangsung secara aman.

"Inilah komitmen penganjur," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS