Kekecohan tercetus lagi di sekitar kuil Seafield Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights di Subang Jaya tidak sampai 24 jam selepas rusuhan awal pagi kelmarin.
Kekecohan terbaru berlaku ketika kira-kira 2,000 individu berkumpul di kawasan kuil itu sejak malam semalam, meskipun polis telah menggesa orang ramai bersurai.
Meskipun jumlah yang berkumpul semakin berkurangan, dalam kejadian terbaru sekitar pukul 1 pagi tadi, terdapat kebakaran baru dilihat di kawasan itu.
Beberapa individu dilihat menyerang lori bomba yang tiba di tempat kejadian. Mereka membaling objek ke arah lori bomba dan turut cuba menghalang petugas media yang berada di lokasi daripada membuat rakaman.
Sekumpulan besar individu turut berarak ke kompleks Once City dan menyerang pejabat pemaju yang merupakan pemilik tanah kuil berkenaan.
Anggota polis dan sekurang-kurangnya sebuah lori Polis Simpanan Persekutuan (FRU) berada di tempat kejadian.
Sementara itu, bekas pengerusi jawatankuasa kuil berkenaan, M Nagaraju berkata, kebanyakan individu yang berkumpul di luar kuil itu bukan penduduk tempatan.
Justeru, katanya, mereka sukar dikawal.
"Kami cuba nasihatkan mereka, tapi mereka enggan dengar.
"Kami faham kemarahan mereka, tapi ini bukan cara bertindak balas," katanya.