Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Air percuma bukan lagi untuk semua kerana penduduk bertambah

Pertambahan penduduk di Selangor menjadi faktor utama kenapa program pemberian air percuma kepada rakyat di negeri itu terpaksa dibuat penjajaran semula.

Menteri besarnya, Amirudin Shari berkata ketika pelaksanaan program air percuma di bawah pentadbiran Khalid Ibrahim, jumlah penduduk Selangor hanyalah 4.6 juta.

Bagaimanapun, jumlah tersebut meningkat kepada lebih dua juta penduduk daripada tempoh pelaksanaan program terbabit.

"Tetapi sekarang sudah 6.4 juta rakyat Selangor dan dari tahun ke tahun kosnya meningkat dan terus meningkat.

"Jadi, kita perlu susun perbelanjaan kita berdasarkan keadaan semasa," katanya kepada pemberita di di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam hari ini.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas soalan pemberita, kenapa langkah tersebut diambil selepas beberapa penggal pelaksanaanya.

Pada 23 November lalu, Amirudin berkata program pemberian air percuma kepada rakyat Selangor akan hanya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang berdaftar dengan program e-Kasih mulai tahun depan.

Program itu melibatkan program penduduk bandar berpendapatan kurang dari RM1,500 atau penduduk luar bandar dengan pendapatan kurang RM1,000 sebulan.

Garis panduan persekutuan bagaimanapun mengelaskan golongan berpendapatan bawah RM3,855 sebulan sebagai golongan B40.

Amiruddin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 berjumlah RM2.56 bilion di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam berkata penjajaran semula program tersebut dibuat bagi memenuhi matlamat asal program iaitu meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Justeru, katanya, mulai tahun depan, kadar percuma untuk 20 meter padu pertama setiap bulan akan dinaikkan kepada 25 meter padu bagi golongan B40.

Mengulas lanjut, Adun Sungai Tua itu berkata kerajaan negeri juga ketika ini perlu memberi tumpuan kepada aktiviti membangunkan Selangor.

Katanya, anggapan langkah yang diambil beliau disebabkan kos pengambilalihan konsesi air Selangor sebelum ini adalah sama sekali tidak betul.

"Proses itu kita lihat pada keadaan kewangan, fokus, tumpuan, dan sebagainya dan memang untuk lima tahun ke hadapan kalau melihat belanjawan saya, tugas dan fokus saya adalah untuk merancakkan kegiatan dan aktiviti ekonomi.

"Kalau nak kata ia disebabkan kos pengambilalihan (syarikat air) itu ternyata salah dan (ia adalah anggapan) seorang yang gagal kira dengan betul.

"Sebab ia tidak libatkan wang kerajaan tetapi kos kerajaan untuk biayai air percuma agak tinggi dan sebab itu ia perlu lihat bagaimana perancangan perniagaan air Selangor di masa depan supaya subsidi boleh ditangani melalui proses dan keuntungan air Selangor," katanya.

'Saya boleh jadi populis, tapi...'

Tambah Amirudin, beliau boleh mengambil sikap populis dalam isu pemberian air percuma, namun katanya beliau harus memastikan kedudukan kewangan negeri sentiasa stabil, konsisten dan berkemampuan dalam tempoh masa panjang.

"Sebab itu kita susun balik dan tumpu pada pembangunan supaya masalah seperti banjir, jalan berlubang, pembinaan kawasan perniagaan baru dapat diberi tumpuan demi pembangunan rakyat dan itu pun memang diperlukan apatah lagi kita perlu jana pendapatan baru.

"Saya pasti akan ada orang yang berasa curiga, tapi lihat juga pandangan setengah pihak yang anggap bahawa sudah sampai masa untuk kita tak bagi secara pukul rata.

"Sebaliknya secara berfokus kepada mereka yang benar-benar memerlukan, mengikut kemampuan dan spesifikasi mereka," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS