Dakwaan meminda laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB sangat serius dan "mengecewakan" jika benar-benar terjadi, kata Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Bekas ketua pemuda Umno itu berkata perbuatan itu tidak sepatutnya berlaku kerana ketua audit negara bebas menyiapkan laporannya tanpa sebarang campur tangan.
"Kalau berlaku arahan untuk memadamkan kehadiran Jho Low di mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB ini adalah satu tindakan yang serius, yang mengecewakan," katanya yang turut dikenali sebagai KJ.
Bagaimanapun, Khairy berkata terserah kepada pihak berkuasa yang sudah memulakan penyiasatan dalam hal ini.
"Najib semalam telah memberi penjelasan bahawa dalam jawapan di parlimen dia pernah mengesahkan melalui kementerian kewangan kehadiran Jho Low di mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.
Percanggahan penjelasan
"Namun demikian kalau itu benar kenapa ada kenyataan yang menyatakan bahawa ada arahan untuk meminda laporan tersebut.
"Jadi di situ ada percanggahan penjelasan Najin dan juga pendirian dari ketua audit negara.
"Jadi kita tunggu mungkin penjelasan daripada ketua audit tentang perkara ini dan siasatan yang telah bermula hari ini.
"Beberapa orang dipanggil ke SPRM untuk beri keterangan," kata beliau kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.
Bekas menteri belia dan sukan juga berkata kabinet tidak pernah diberitahu mengenai kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB.
"Sebenarnya tak boleh dibuat (pindaan) sebab laporan Jabatan Audit Negara ini mestilah bebas dan berkecuali. Tak boleh diarah untuk dipinda dan sebagainya.
"Saya sebagai menteri pun banyak kali kementerian saya disiasat ditegur dan sebagainya. Kita terima sebab itu perkara biasa dalam kerajaan, mesti diaudit dan kelemahan-kelemahan mesti diatasi," katanya.