Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Icerd: Jangan terlalu gembira, kata bekas ketua hakim

Orang Melayu diingatkan untuk tidak terlalu berpuas hati dan gembira dengan pendirian baru kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang mendapat bantahan dan desakan dari pelbagai pihak.

Hadir dengan kenderaan ambulans dan dibawa ke pentas menaiki kerusi roda, bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad berkata, situasi politik semasa sendiri boleh berubah-ubah.

Ini kerana, jelasnya, "perdana menteri menunggu” sehingga kini masih belum diketahui pendiriannya berkaitan Icerd.

“Kita mungkin sudah memenangi satu pertempuran, tetapi perang belum lagi tamat. Saya percaya, kumpulan yang tidak senang adanya hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, tidak akan berdiam diri.

“Jika perdana menteri tidak bertukar pun, mungkin tekanan terhadapnya di dalam kerajaannya sendiri, terlalu kuat hingga beliau terpaksa membuat U-turn. Semenjak 9 Mei 2018, kita sudah melihat beberapa kali U-turn dibuat.

“Satu lagi bukanlah mustahil. Sebab itu kita perlu terus berwaspada dan bangun menentang semula, jika perlu. Kerajaan tidak boleh memberi jaminan konvenysen itu tidak akan diratifikasikan di masa hadapan,” katanya sewaktu berucap dalam Kongres Tolak Icerd di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

'Pengakuan PH'

Terdahulu beliau menjelaskan keadaah kesihatannya dalam nada seloroh berkata "Saya dah jalani pembedahan dari tengkuk ke bawah, tapi atas (kepala) masih okay". 

Kenyataannya itu disambut ketawa kira-kira 200 hadirin.

Menurut Abdul Hamid, keputusan kerajaan untuk tidak meratifikasikan Icerd adalah pengakuan bahawa konvensyen berkenaan menjejaskan perlembagaan.

“Bagi saya, kita boleh terima bahawa kerajaan PH tidak akan meratifikasi Icerd, sekurang-kurangnya buat masa ini. Tafsiran saya ialah, kerajaan PH tidak akan meratifikasi Icerd kerana ia hendak mempertahankan perlembagaan.

“Ertinya, ia mengakui bahawa jika ia meratifikasi Icerd, maka peruntukan perlembagaan akan terjejas. Dalam kata lain PH menerima hujah kita bahawa peruntukan Icerd memang bercanggah dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan PH, melalui kenyataan ini mengaku tentang wujudnya kontrak sosial bahawa ia dipersetujui wakil semua kaum, bahawa ia mengikat semua orang sebab ia termaktub dalam perlembagaan dan oleh itu, mestilah hormati semua kaum,” katanya.

'Kenapa hanya panggil akhbar Cina?'

Sementara itu, dalam ucapannya, Abdul Hamid turut menggesa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendedahkan isi kandungan sewaktu pertemuan selama 90 minit bersama-sama pengarang akhbar-akhbar berbahasa Cina pada 23 November lalu.

Katanya, Lim memberi penjelasan kepada pengarang akhbar bahawa beberapa parti politik dan individu sedang memainkan sentimen masyarakat Melayu menggunakan isu Icerd.

“Soalan saya yang pertama, mengapa beliau hanya memanggil pengarang-pengarang akhbar Cina jika beliau hendak membuat kenyataan akhbar. Adakah ada sesuatu yang tersembunyi yang beliau tidak mahu orang Melayu tahu?

“Mengapa selepas kenyataan itu dikeluarkan pun, orang-orang yang menentang ICERD masih dikatakan sebagai “sedang memainkan sentimen masyarakat Melayu” dengan menggunakan isu Icerd,” katanya.

Untuk rekod, Icerd yang diluluskan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1965 menjadi isu sensasi dalam politik negara selepas kerajaan PH berhasrat meratifikasi konvensyen itu.

Kebimbangan utama yang disuarakan pihak yang membantah Icerd adalah ia bertentangan dengan Perkara 153 perlembagaan persekutuan, iaitu merupakan asas bagi dasar afirmatif yang melindungi orang Melayu dan bumiputera.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS