Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Madinah: Najib juga arah sendiri laporan audit 1MDB dipinda
Diterbitkan:  Nov 25, 2018 12:27 PM
Dikemaskini: 5:15 AM

Selain bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho, pentadbiran BN turut mengarahkan beberapa lagi pindaan dibuat terhadap laporan audit 1MDB, kata Ketua Audit Negara Madinah Mohamad.

Ia termasuklah perenggan berkenaan penyata kewangan 1MDB bagi 2014 yang diarahkan sendiri oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Madinah berkata, Najib membuat arahan itu dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri bekas ketua setiausaha negara Dr Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri Shukry Salleh dan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

"Bekas perdana menteri telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014, dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Pada 23 Februari (keesokannya), dalam mesyuarat di pejabat ketua setiausaha negara yang dihadiri Ali, Shukry dan Ambrin, pasukan audit 1MDB dimaklumkan kerajaan telah mengkategorikan laporan akhir itu sebagai satu krisis," katanya dalam kenyataan, hari ini.


BacaSU sulit Najib arah gugur nama Jho Low dari laporan - Ketua audit negara


Sejak mesyuarat 22 Februari itu, kata Madinah lagi, empat pindaan lagi dibuat termasuk bahagian yang menyebut kehadiran Jho Low dalam salah satu mesyuarat lembaga pengarah 1MDB.

"...Atas alasan ia sensitif dan untuk mengelakkan fakta diputar-belit pembangkang (pada masa itu)," katanya.

Selain bahagian berkenaan penyata kewangan 2014 dan Jho Low, Madinah bagaimanapun tidak menerangkan secara terperinci bahagian lain yang dipinda atau digugurkan daripada laporan itu.

Selepas lima pindaan itu, Madinah berkata barulah naskhah laporan dicetak ppada 3 Mac 2016 dan diserahkan kepada bekas setiausaha sulit kanan ketua setiausaha negara.

"Pada 4 dan 7 Mac 2016, bekas ketua audit negara membentangkan laporan akhir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC).

"Laporan akhir audit 1MDB sebelum pindaan telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut pada 2018," katanya lagi.

Pindaan terhadap laporan audit ini didedahkan oleh Timbalan Pengerusi PAC Wong Kah Woh pada 29 Oktober lalu. Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci, sebaliknya hanya mengatakan "kandungan yang hilang itu akan menjejaskan imej pentadbiran lalu".

Keesokannya, Ambrin menafikan dakwaan itu dan berkata tidak tahu apa yang dimaksudkan Wong.

Dua hari lalu, laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber menamakan Najib sebagai individu yang bertanggungjawab mengarahkan pindaan itu

Menurut laporan itu, sumebr itu mendakwa ia dibuat dalam mesyuarat di pejabat perdana menteri dan mengeluarkan maklumat berkenaan pembabitannya dan Jho Low dalam 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS