Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Absurd dalam bahasa Inggeris ialah 'stupid and unreasonable, or silly in a humorous way, things that happen that are stupid or unreasonable or ridiculous'.

Kalau diterjemahkan dalam bahasa Malaysia perkataan 'absurd' dikaitkan dengan 'bodoh' 'tak masuk akal' atau 'mengarut'. 

Perkataan 'berserk' pula ialah 'out of control with anger or excitement; wild or frenzied'. 

Dalam bahasa Malaysia ia mudah digambarkan sebagai satu keadaan seseorang 'menjadi liar akibat kemarahan atau keterujaan teramat sangat'. 

Icerd pula ialah akronim kepada International Convention on Elimination of Racial Discrimination.

Dalam bahasa Malaysia 'Perjanjian Antarabangsa Penghapusan Amalan Diskriminasi Kaum'. 

Perjanjian tersebut (akan digunakan perkataan Icerd dalam tulisan ini) dimulakan inisiatif sejak tahun 1963 dan hanya diadaptasi pada tahun 1969.

Ia menjadi rasmi sebagai satu konvensi (perjanjian) antarabangsa untuk diratifikasikan oleh negara-negara anggota. 

Asas Icerd adalah bagi menangani isu perkauman yang melebar ketika itu sehingga berlaku penindasan dan kezaliman satu kaum atau bangsa ke atas yang lain di atas nama 'superioriti kaum'. 

Tidak syak lagi penindasan atas kewajaran 'ketuanan' bangsa telah mencetuskan peperangan, konflik berdarah dan kemanusiaan yang diinjak-injak atas nama perkauman. 

Trauma dunia yang siap melalui era pasca perang dunia ke-II kini digalas ganti dengan kengerian baru atas nama 'White Supremacy', 'Jewish Supremacy', 'Arab Supremacy' sehingga menjejas agenda dunia yang dambakan kehidupan atas nilai kemanusiaan yang tinggi. 

Islam menentang diskriminasi

Justeru, menelurkan Icerd sebagai komitmen warga dunia menolak sebarang bentuk penindasan sesama manusia di atas nama ketaksuban kaum. 

Dari sudut Islam, umat Islam harus berbangga kerana secara intipatinya, syariah Islam sejak dari awalnya menentang sebarang bentuk penindasan dan diskriminasi atas nama perkauman atau asabiyah qaumiyah. 

Ketegasan Nabi Islam menyatakan bahawa 'Manusia itu sama umpama gigi sikat, tiada kelebihan atas seorang Arab ke atas seorang bukan Arab atau sebaliknya melainkan dengan kelebihan Taqwa'.

Ayat al-Quran juga menobatkan kelebihan kemanusiaan sebagai satu kemuliaan yang Allah kurniakan dalam ayatnya Al Isra 70: “Karramna Bani Adam...” 

Nabi Muhammad pernah menegur dengan keras Abi Dzar Al Ghifarri lantaran ungkapannya kepada Bilal: “Wahai si anak kulit hitam".

Nabi menegur Abi Dzar: “Sesungguhnya dalam dirimu masih ada daki Jahiliyah (lantaran sebutannya kepada Bilal)". 

Kesombongan atas keturunan dan bangsa atau warna kulit adalah punca manusia buta kepada kebenaran. 

Jikalau Icerd punya cita-cita menentang perkauman dan Islam tertegak atas asas tiada perkauman, tidak hairanlah hampir semua negara OIC telah menandatanganinya. 

Kelayakan kita menerimanya dalam usaha memperkukuhkan kebersamaan dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa memerangi bahaya perkauman sepatutnya tidak dipertikaikan. 

Lokal konteks kekuatan Malaysia

Tapi mengapa kita memilih untuk menjadi liar seolah dunia akan kiamat jika kita menerimanya? Mengapa hilang rasional kita sedangkan ini peluang menegaskan keunggulan Islam menentang penindasan kaum? 

Mereka katakan kita tidak pernah menindas mana-mana kaum di negara ini, maka apa perlunya Icerd ini?

Saya menyatakan kerana kita tidak menindaslah maka kita perlu buktikan kebersamaan masyarakat antarabangsa memerangi perkauman.

Tidak dinafikan Icerd punya banyak unsur membimbangkan dan meragukan seperti implikasi terhadap konteks lokal kita sebagai contoh, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputra Sabah, Sarawak dalam Perkara 153, kedudukan Raja Melayu, kedudukan Islam dalam artikel 3(2). Semua ini ada asasnya malah Malaysia tertegak atas raison d'etre ini. 

Jikalau kita menyatakan kerana perlembagaan inilah yang melahirkan keharmonian dan tiada penindasan kaum, maka logiknya bersetujulah kita kepada Icerd, bukan membawa kita kepada penghapusan semua ini! 

Malah dipertahankan di peringkat antarabangsa dengan memperagakan model Malaysia, model kita, manhaj kita! Ia bukan dua perkara yang bercanggah tapi lokal konteks kita adalah kekuatan kita kepada Icerd.

Konteks kita adalah kekuatan kita kepada Icerd. 

Tiada negara yang mahu bersama masyarakat antarabangsa dengan mengorbankan lokal konteksnya. Lokal konteks kita adalah kebanggaan kita dan kesediaan untuk membawa kes kita dalam Icerd adalah ketegasan kita bersama masyarakat dunia tanpa hilang jati diri kita. 

Perjuangan menentang radikalisasi kaum

Malangnya, peluang untuk maju ke hadapan terbantut dengan sesetengah pihak 'menculik' ruang Icerd ini dengan menunggangnya menjadi isu politik dan sentimen perkauman sempit. 

Kerajaan mendengar sentimen ini dengan penuh kebimbangan bagi memelihara kepentingan berbagai pihak. 

Tindakan seperti perhimpunan 8hb Disember yang bakal diadakan membuka peluang kepada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan, tanpa disedari mengheret negara ini kepada ketegangan dan kebencian bukan mempertahankan keharmonian selama ini yang dinikmati. 

Walau bagaimanapun Kabinet telah membuat sikapnya setelah beberapa ketika Icerd menggegar zon selesa kita. Apatah lagi dengan kerajaan baru yang inginkan Malaysia berwajah baru, terpaksa meletakkan keutamaan-keutamaanya dengan menangani banjiran isu yang tidak berkesudahan. 

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan sikap membuka ruang, mendengar berbagai pihak sebelum membuat keputusan.

Pada 23hb Nov 2018 kabinet sebulat suara membuat keputusan untuk menyatakan tidak akan menandatangani Icerd dengan menegaskan komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan yang ada di dalamnya.

Icerd disikapi dengan berbagai persepsi yang berlegar dalam benak rakyat Malaysia. Icerd boleh menjadi sesuatu yang absurd bagi sesetengah dan bagi setengah yang lain boleh jadi berserk. 

Sikap kerajaan tidak menandatangani Icerd amat jelas tetapi perjuangan menangani gejala radikalisasi kaum dan agama belum terhenti kerana ia bukan soal Icerd tapi budaya dan sikap perkauman dan agama sempit yang semakin membimbangkan seluruh rakyat Malaysia. 

Ayuh kita berfikiran lebih luas dan menjangkaui Icerd. 


DR MUJAHID YUSOF ialah Naib Presiden Amanah Negara Ahli Parlimen dan Menteri di JPM (Agama).

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS