Pemilik The Edge Media Group, Tong Kooi Ong menangkis dakwaan bekas perdana menteri Najib Razak yang mengatakan tidak tahu menahu mengenai skandal 1MDB.
Tong mendakwa pada tahun 2015, beliau secara peribadi memaklumkan Najib di kediamannya bahawa terdapat bukti ahli perniagaan yang kini menjadi buruan, Jho Low melakukan penipuan terhadap 1MDB. Bagaimanapun kata Tong, beliau pula diusir.
Dalam ruangan editorial The Edge hari ini, Tong berkata pertemuan dengan Najib pada malam 6 Mac 2015 itu diatur oleh anggota parlimen Umno.
"Saya berjumpa dengan Najib di ruang tamu.
"Dia mula memberitahu saya bahawa The Edge salah dan masalah 1MDB adalah model perniagaan yang membawa terlalu banyak hutang. Tiada kecurian wang.
"Saya beritahu dia sebaliknya. Saya berkongsi dengannya maklumat yang saya percaya adalah bukti bahawa ia adalah satu penipuan, dengan Jho Low sebagai dalang.
"Saya menjelaskan bagaimana akaun itu dibuat untuk melaporkan keuntungan dan mengapa saya percaya wang tunai semuanya telah hilang.
"Selepas kira-kira setengah jam, dia kesal dan beritahu saya dia akan menutup 1MDB. Dia tidak mengatakan apa yang akan dilakukannya mengenai hutang itu.
"Saya kemudian beritahu Najib bahawa Jho Low mesti dipertanggungjawabkan dan didakwa. Ini mengecewakannya. Dia segera bangun, berjalan ke pintu dan meminta saya pergi.
"Saya terkejut kerana dia sangat sensitif terhadap Jho Low," kata Tong dalam kenyataannya.
Najib pada Khamis mengatakan bahawa Low mungkin telah menipu 1MDB, sambil sekali lagi menegaskan tidak tahu apa-apa mengenai penyelewengan 1MDB waktu itu.
Pada Ogos lalu, Low didakwa tanpa kehadirannya (in absentia) berhubung lapan tuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di Putrajaya.
Jutawan itu juga dituduh tanpa kehadirannya oleh pendakwa AS, bersama dua jurubank Goldman Sachs berhubung kes 1MDB.