Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib dakwa portal berita 'kilas' kenyataan tentang Jho Low
Diterbitkan:  Nov 24, 2018 3:33 PM
Dikemaskini: 7:59 AM

Najib Razak menyalahkan laporan media berhubung kenyataannya mengenai ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa beberapa negara, Jho Low, baru-baru ini.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau tidak pernah membuat kenyataan ditipu oleh Jho Low dalam urusan melibatkan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB.

Sebaliknya kata Najib komen beliau melalui satu temu bual baru-baru ini disalah tafsir oleh sebuah "portal" media.

“Kenyataan saya telah dikilas oleh portal tertentu.

"Sebenarnya saya tidak kata (saya) ditipu oleh Jho Low. Saya kata, kalaulah terbukti nanti (Jho Low melakukan kesalahan dalam urusannya) maknanya kita telah ditipu," kata Najib seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Najib berkata demikian semasa menghadiri majlis ramah mesra di Dewan Umno Pekan Tajau, di Maran Pahang.

Turut hadir anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Nor Adam dan Pengerusi Jaringan Sukarelawan Malaysia, Hizatul Isham Abdul Jalil.

Kira-kira 1,000 orang dilapor menghadiri program berkenaan.

Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - ialah watak utama dalam skandal 1MDB yang turut melibatkan tindakan perundangan di beberapa negara, termasuk AS dan Singapura.

Polis Malaysia adalah antara pihak berkuasa yang sedang memburunya.

Pada 22 Nov lalu Najib dilaporkan berkata ada kemungkinan beliau ditipu Jho Low yang dituduh menyalahgunakan dana 1MDB.

“Ya, kalau begitu, memang kita (sudah ditipu), itulah kesimpulan kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini... itu sebenarnya,” katanya semasa wawancara dengan Sinar Harian

Bagaimanapun Najib yang kini berdepan pelbagai tuduhan jenaya di mahkamah kemudian memberikan penjelasan lanjut berhubung kenyataan tersebut.


Baca Penjelasan Najib isu Jho Low


Kata Najib beliau memang tidak pernah menafikan mengenali Jho Low tetapi ia berlangsung secara profesional.

"Kita gunakan beliau dalam urusan hubungan kita dengan Arab Saudi, khususnya untuk pelaburan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS