Jika malam tadi pemimpin Umno menyatakan rasa curiga terhadap pendirian sebenar kerajaan terhadap Icerd, kali ini wakil PAS turut menzahirkan perasaan yang sama.
Anggota Parlimen Kuala Nerus Dr Khairuddin Aman Razali berkata jika manifesto sendiri pun Pakatan Harapan (PH) sanggup langgar langkah yang sama juga mungkin diambil kerajaan selepas ini.
Khairuddin yang juga bendahari Dewan Ulama Pusat PAS berkata anggota parlimen - khususnya dari DAP - tidak akan berhenti mendesak supaya Icerd - atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum - akan diiktiraf.
Jika tidak melalui Icerd pun, katanya, kumpulan terbabit akan menggunakan kaedah lain.
Justeru kata Khairuddin "semangat" orang Melayu yang bersatu tidak boleh dimatikan oleh kenyataan media Pejabat Perdana Menteri semalam.
"Semangat rakyat yang telah bersatu atas isu Islam dan Melayu tidak perlu dimatikan hanya dengan kenyataan media untuk tidak meratifikasi Icerd.
"Itu hanya strategi mereka untuk meredakan kemarahan" katanya dalam satu hantaran di media sosial.
PAS dan Umno bersetuju mengadakan himpunan di Kuala Lumpur pada 8 Dis ini sebagai tanda protes mereka terhadap cadangan untuk menerima Icerd.
Pejabat Perdana Menteri kemudian semalam mengeluarkan kenyataan bahawa Putrajaya tidak akan meratifikasi Icerd kerana isu-isu berkaitan hak rakyat negara ini ada termaktub dalam perlembagaan.
Namun Umno tetap meragui kesungguhan kerajaan pusat dan menuntut ketetapan itu dibuat secara rasmi di Dewan Rakyat.
PAS serta beberapa pertubuhan lain pula akan meneruskan himpunan mereka di Kuala Lumpur pada Dis ini.
"Kita mahukan negara yang harmoni dengan rakyat dan pemimpin menghormati hak istimewa Islam dan Melayu yang termaktub dalam perlembagaan," kata Khairuddin.