GLOBAL | Laporan Radio Free Asia (RFA) mendakwa pihak berkuasa China di Wilayah Autonomi Xinjiang telah menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang ahli perniagaan yang juga dermawan etnik minoriti Uyghur terkenal, Abdughapar Abdurusul, kerana mengerjakan ibadah haji di Arab Saudi.
Menurut laporan RFA yang memetik abang mangsa, Abdusattar Abdurusul, Abdughapar ditangkap pada Julai atau Ogos lalu.
“Yang terbaru saya dengar, adik saya dijatuhi hukuman mati dan dia kini sedang menunggu pelaksanaannya.
"Alasannya ialah dia pergi ke Arab Saudi untuk melaksanakan haji secara persendirian, tanpa menggunakan perkhidmatan kerajaan,” dakwa Abdusattar.
Beliau dipetik RFA berkata Abdughapar tidak dibenar melantik peguam ketika perbicaraan, sekali gus menunjukkan bahawa dia telah dihukum secara haram.
Menurut Abdusattar, adiknya itu merupakan bapa kepada empat anak yang memiliki beberapa rangkaian kedai dan perniagaan dan telah menggunakan wang sendiri untuk membina sebuah masjid.
Selain itu, katanya, Abdughapar juga telah menjual sebuah rumah lama milik keluarga sekitar 1 juta yuan (AS$144,000) pada April atau Mei, sebelum ditangkap, sementara semua aset keluarganya berjumlah kira-kira 100 juta yuan (US$14.4 juta) dirampas.
Pusat pendidikan vokasional Uighur
“Abdughapar seorang dermawan yang suka membantu masyarakat … (tetapi) sekarang kerajaan telah mengambil segala-galanya dan memusnahkan sepenuhnya kehidupan keluarga itu,” kata Abdusattar, lapor RFA lagi.
Laporan itu memetik Abdusattar berkata, kakaknya Sayipjamal juga sudah hilang untuk tempoh masa yang lama dan dianggap telah ditahan, sementara beberapa kawannya dijatuhi hukuman penjara lebih daripada 18 tahun.
RFA dalam laporannya berkata kakitangan Biro Keselamatan Awam Wilayah Ili Kazakh di bandar Ghulja, enggan menjawab pertanyaan serta menutup telefon apabila dihubungi pihaknya.
Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan RFA ini.
Pada 10 Ogos lalu, anggota Jawatankuasa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Gay McDougall dipetik BBC mendakwa menerima laporan yang boleh dipercayai mengenai China menahan secara tidak sah jutaan warga Uighurs di "pusat antikeganasan."
Bagaimanapun, hal tersebut dinafikan pihak berkuasa China yang mendakwa kem tahanan itu merupakan "pusat pendidikan vokasional" untuk membendung fahaman keganasan.
Pengerusi wilayah autonomi itu, Shohrat Zakir dipetik media rasmi China, Xinhua pada 16 Oktober lalu berkata para "pelatih pusat pendidikan vokasional itu" sangat bersyukur terhadap peluang untuk mengubah hidup menjadi lebih bermakna.
Uighurs ialah etnik minoriti berketurunan Turki beragama Islam dengan populasi sekitar 45 peratus di wilayah Xinjiang di China.