Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor perkenan lantik Tunku Iskandar sebagai Raja Muda Johor
Diterbitkan:  Nov 22, 2018 2:46 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan melantik cucunda baginda, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail sebagai Raja Muda Johor.

Pemasyhuran itu diumumkan Sultan Ibrahim pada majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 di Istana Besar, di Johor Bahru.

“Sebagaimana kita semua sedia maklum, Tunku Mahkota Johor telah dikurniakan seorang anak lelaki pada tanggal 10 Oktober 2017 yang lalu dan telah diberi nama Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Ibni Tunku Ismail.

“Oleh yang demikian, sebagaimana hak dan kuasa yang termaktub di dalam Fasal 23 Bahagian Pertama dan Fasal 7(2E) Bahagian Kedua, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor, maka saya sebagai Raja dengan persekutuan Jumaah Majlis Diraja, telah berkenan untuk melantik, menjadikan dan menggelar Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail sebagai Raja Muda Johor.

“Oleh itu, mulai dari saat ini, Tunku Iskandar Ibni Tunku Ismail adalah merupakan waris kedua kepada takhta pemerintahan kerajaan Johor, iaitu orang yang menyusul kemudian daripada waris,” titah baginda pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Ke-60 di Dewan Singgahsana, Istana Besar, hari ini.

Teks titah Sultan Ibrahim itu diedar kepada media menerusi pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO).

Berangkat sama ke istiadat itu, Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan paduka-paduka anakanda serta menantu, Dennis Muhammad Abdullah.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 62 individu dengan senarai penerima didahului Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian dan Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani yang dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato' Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang turut membawa gelaran Datuk kepada lima individu.

Mereka adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Bahru Amran A.Rahman, Pengarah Tanah dan Galian Johor Mohd Halim Hasbullah, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri Adib Azhari Daud, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan) Ramlee A.Rahman dan Juruiring/Ketua Pegawai Keselamatan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor SAC R. Sugumaran.

Sultan Ibrahim turut berkenan menganugerahkan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) kepada 26 individu, yang tiada membawa sebarang gelaran serta Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II) kepada 29 individu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS