Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mengakui beliau ditipu oleh tokoh perniagaan kontroversi yang kini menjadi buruan, Jho Low yang dituduh menyalahgunakan dana 1MDB.
“Ya, kalau begitu, memang kita (sudah ditipu), itulah kesimpulan kalau kita ambil kira apa yang kita tau hari ini , itu sebenarnya,” katanya semasa wawancara secara langsung secara eksklusif dengan Sinar Harian hari ini.
Najib ditanya oleh penasihat editorial Karangkraf, Abdul Jalil Ali, jika beliau mengakui bahawa dirinya telah ditipu oleh Low.
Najib, bagaimanapun, bertegas bahawa beliau sendiri berada dalam kegelapan berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB.
“Itu saya kata tindakan perlu diambil, kalau jelas dia (Jho Low) lakukan kesalahan, masa itu kita telah lantik peguam, audit, dan Golman Sachs, sebuah investment bank (bank pelaburan) yang begitu tersohor peringkat global.
“Tanggung jawab bank (itu) ialah mejaga kepentingan Malaysia, jadi kalau dia gagal menjaga kepentingan Malaysia, macam mana saya nak tahu, patut dia beritau ada sesuatu yang tidak betul.
“Dia (Jho Low) jelas telah gagal (dalam) tanggungjawabnya, Misalnya Goldman Sachs, maknanya sistem yang kita wujudkan nak jaga kepentingan invesment bank, peguam, juru audit semua, mereka telah telah tidak memainkan peranan yang sebenarnya ,” katanya.
Najib juga menjelaskan bahawa hubungannya dengan Low dalam isu 1MDB hanyalah atas dasar profesional semata-mata untuk meningkatkan ekonomi negara.
"Sebelum isu 1MDB, Jho Low ada hubungan yang rapat dengan negara Timur Tengah terutama Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan lain-lain. Dia berjaya bawa pelaburan.
“Saya melihat dia dari sudut itu kalau kita boleh gunakan hubungan baik beliau untuk tingkatkan ekonomi. Tapi saya tak tahu hubungan peribadinya, saya tak terlibat dan tak tahu langsung apa dilakukan (di luar).
“Apa dia lakukan, dikatakan dia ada yatch (kapal layar) besar, kapal terbang, saya tak tahu, hubungan saya dengan dia adalah hubungan professional,” kata Najib.