Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Carlsberg: Promosi perasa hanya untuk orang bukan Islam
Diterbitkan:  Nov 21, 2018 12:37 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Carlsberg Malaysia memaklumkan setiap kegiatan promosinya, termasuk perasa di pasar raya, adalah untuk orang bukan Islam yang melepas had umur untuk membeli minuman keras.

Ia susulan kontroversi rakaman seorang lelaki yang mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang promoter syarikat itu yang menawarkan perasa percuma di bahagian tidak halal di sebuah pasar raya baru-baru ini.

Carlsberg berkata pihaknya mempunyai hak untuk mempromosikan produknya dan menawarkan perasa.

Syarikat itu juga berkata keutamaan adalah terhadap keselamatan pekerjanya dan promoter yang terbabit tidak akan memanjangkan lagi perkara itu.

"Kami menghormati keputusannya untuk tidak melanjutkan hal ini. Dia menghargai galakan dan sokongan yang diterima daripada semua pihak," kata Pengarah Urusan Carlsberg Lars Lehmann dalam kenyataan.

Katanya lagi, promoter itu meminta orang ramai menghormati ruang peribadinya dan tidak menyebarkan rakaman, gambar atau maklumat peribadinya.

Lim dan Eddy

Semalam, lelaki itu yang dikenali sebagai Eddy Rejang membuat permohonan maaf atas tindakannya itu. Ia dibuat dalam sidang media bersama Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan wakil PKR, Bersatu dan Amanah.

"Saya lihat wanita itu mempromosi (minuman keras). Saya tidak sedar tempat itu (bahagian tidak halal). Saya marah, keluarkan telefon dan rakam video.

"Saya tidak rasis. Anak-anak saya ke sekolah Cina dan saya berkawan dengan orang Cina," katanya, atau nama sebenarnya Mohamad Edi Riyars.

Lim pula berkata beliau akan cuba menghubungi promoter itu untuk memaklumkan permohonan maaf Eddy.

Sementara itu, peguam dan aktivis Syahredzan Johan menggesa orang ramai agar tidak memanjangkan insiden itu dan berhenti menyebarkan gambar keluarga Eddy.

"Dia salah dan kita sudah kecam dia. Sekarang kita perlu bergerak ke depan, jangan melarat sampai libatkan keluarga dia.

"Isunya bukan individu bernama Eddy, tetapi prejudis dan kebencian dalam masayarakat. Untuk tanganinya bukan dengan memburu dan menghukum individu, tetapi melihat mengapa sentimen seperti ini boleh timbul dalam diri seseorang," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS