Pemimpin DAP hari ini membuat laporan polis berikutan klip video tular yang melibatkan promoter minuman keras di sebuah pasar raya.
Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, laporan itu dibuat bagi memastikan polis mengambil tindakan bagi menangani ketegangan kaum yang semakin menjadi-jadi di negara ini.
“Niat saya membuat laporan polis hari ini adalah bagi meminta pihak kerajaan, pihak berkuasa serta pelbagai agensi termasuk polis untuk tampil dengan satu penyelesaian yang dapat menangani ketegangan kaum di Malaysia.
“[...] Saya tak mahu sesiapa pun daripada mana-mana kategori masyarakat, bangsa mahupun jantina mendapat penghinaan (sebegitu).
“Kita adalah negara demokrasi, kita sepatutnya saling menghormati dan kita sepatutnya terus besatu sebagai masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya kepda pemberita selepas melakukan laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya.
Dalam laporan tersebut, Lim merujuk kepada laporan berita berhubung klip video yang memaparkan seorang individu menggunakan kata-kata kesat dan "berbaur rasis" terhadap seorang promoter wanita.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di pusat membeli belah Ampang Point.
Dalam video berdurasi kira-kira 46 saat itu, seorang individu mendekati seorang wanita promoter berbangsa Cina yang sedang mengedarkan perasa (tester) minuman keras di salah sebuah pasar raya.
Individu berkenaan didengar mempertikai dan mendakwa perasa minuman keras itu diberikan kepada semua pelanggan.
Wanita berkenaan bagaimanapun menafikan dakwaan itu. Individu itu kemudian mendesak promoter wanita berkenaan menggunakan bahasa Melayu.
Setelah gesaannya agar perempuan itu berbahasa Melayu tidak diendahkan, lelaki itu menunjukkan isyarat lucah.
Berdasarkan susunan arak yang boleh dilihat dalam klip video itu, dipercayai kejadian itu berlaku di seksyen tidak halal.