Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MP pembangkang perlu dapat izin nak masuk sekolah'

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata anggota parlimen pembangkang yang ingin masuk sekolah kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada kementerian melalui pengarah jabatan pendidikan negeri.

"Saya sudah menjawab isu ini banyak kali dan pekeliling juga menyatakan sebarang permohonan untuk memasuki sekolah perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian pendidikan melalui pengarah negeri," kata Maszlee ketika ucapan penggulungan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Noh Omar (BN-Tanjong Karang) kemudian mempersoalkan sama ada dasar berkenaan hanya dikenakan kepada anggota parlimen pembangkang atau semua anggota parlimen.

"Ia dikenakan kepada semua anggota parlimen pembangkang," kata Maszlee.

Ketika Noh mendesak untuk pengesahan lanjut, Maszlee berkata beliau akan memberi jawapan bertulis.

Isu berkenaan timbul selepas Sabri Azit (PAS-Jerai) mendakwa beliau dihalang memasuki sekolah kerajaan meskipun merupakan wakil rakyat.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin menggesa agar dakwaan berkenaan diteliti kerana beliau tidak mahu pembangkang dilayan seperti ketika Pakatan Harapan (PH) belum menjadi kerajaan.

"Pada hemat saya, dakwaan tersebut, andai kata betul, amat malang sekali dan tidak wajar sama sekali masih berlaku di era kerajaan PH. Ya, ia pernah dan agak kerap berlaku ke atas para ahli parlimen pembangkang seperti kami semasa rejim BN berkuasa dahulu.

"Andai kata dakwaan itu benar, saya rasa, ia amat tidak betul dan jelas bercanggah dengan prinsip dan ruh kesamarataan di sisi undang-undang (equality before the law) di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS