MIC bahagian Labuan hari ini bubar selepas semua anggotanya mengambil keputusan untuk meninggalkan parti dan mengumumkan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mulai hari ini.
MIC Labuan yang ditubuhkan pada 1986 sebaik sahaja Umno dan MCA melebarkan sayapnya ke Labuan, mempunyai lima cawangan dengan 336 anggota di pulau itu.
Bekas Pengerusinya Datuk Ramasamy Rengasamy mengumumkan keputusan parti itu selepas bermesyuarat dengan semua anggotanya bagi memutuskan halatuju politik komuniti india di Labuan hari ini.
Beliau mendakwa keputusan dibuat selepas pihaknya berunding dengan ibupejabat MIC.
“Kami merumuskan satu resolusi berhubung pendirian politik kami, di mana demi kepentingan komuniti India di sini, kami memilih untuk menyokong Perdana Menteri dan kerajaan semasa,” katanya kepada Bernama selepas mengadakan mesyuarat selama kira-kira dua jam dengan pemimpin-pemimpin MIC Labuan dan anggotanya di Hotel Lazenda di Wilayah Persekutuan Labuan.
Ramasamy berkata bekas pemimpin-pemimpin MIC Labuan serta anggotanya belum membuat sebarang keputusan parti komponen mana dalam Pakatan Harapan (PH) yang akan disertainya, namun keputusan akan diumumkan sebelum hujung tahun ini.
- Bernama