Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS tak letak calon lawan Tok Mat di DUN Rantau
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 3:08 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

PAS memutuskan untuk tidak meletakkan calon pada pilihan raya semula Dewan Undangan Dun (DUN) Rantau, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, perkara itu diputuskan selepas parti Islam itu tidak meletakkan calon bertanding pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) yang lalu.

“Tidak, kita dah lepas mesyuarat dan kita dah buat keputusan untuk tidak meletakkan calon.

“PRU14 pun PAS tak letak calon di situ dan kali ini kita kekal pendirian.” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Umno akan meletakkan penyandang asal kerusi DUN Rantau, Mohamad Hasan sebagai calon untuk mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya semula yang akan diadakan.

Perkara itu ditegaskan oleh presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dengan menyifatkan keputusan mahkamah semalam yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan di DUN itu pada PRU14 sebagai batal dan tidak sah.

Mohamad menang kerusi DUN itu tanpa bertanding pada 28 April lalu selepas calon PKR Dr S. Streram dilarang masuk pusat penamaan kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Streram pada 23 Mei lalu memfailkan petisyen pilihan raya memohon membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya tidak meletakkan calon bukan disebabkan Umno menamakan Mohamad sebaliknya setelah memikirkan kekuatan jentera yang dimiliki oleh PAS.

“Dulu pun kita tak letak calon, bukan sebab Mohamad tapi sebab kita fikirkan kekuatan jentera, persiapan jadi kita beri laluan Mohamad.

Anggota Parlimen Kubang Kerian itu turut berkata, PAS sedia membantu calon pembangkang yang bertanding.

“PAS sedia bantu mana-mana calon (pembangkang) yang bertanding. Kita akan tengok siapa yang akan dicalonkan pada PRU nanti.

“Kita kekal menyokong dalam blok pambangkang dan tolong pembangkang. Kita tetap dengan keputusan sama,” katanya.

Beliau turut berharap kemenangan pembangkang akan menguatkan lagi blok tersebut di Negeri Sembilan.

“Kita harap suara pembangkang bertambah sebagai check adn balance dalam kerajaan di Negeri Sembilan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS