Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan exco bergaduh dengan MB Johor hanya propaganda pembangkang - Mazlan
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 2:16 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Johor, Mazlan Bujang menafikan dakwaan kononnnya beliau ‘bergaduh’ dengan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

“Itu tidak betul. Menteri Besar dan saya serta exco lain sentiasa bekerjasama, mana pernah bergaduh. Kita bermesyuarat dan biasalah akan melontarkan cadangan tetapi bukanlah bergaduh.

“Dalam mesyuarat, kita akan sentiasa membuat keputusan secara kolektif iaitu keputusan bersama exco, bukan macam kerajaan dulu yang mana ketua selalu betul. Dalam pentadbiran Pakatan Harapan, tiada lagi istilah ketua selalu betul,” katanya dalam sidang media hari ini.

Mazlan berkata Osman adalah orang yang dikaguminya sejak dahulu lagi kerana sentiasa berada di landasan benar dan oleh itu, beliau tidak akan mengkhianatinya.

“Saya tidak akan mengkhianati dia malah akan menyokongnya selagi dia berada di landasan benar.

“Propaganda (dakwaan bergaduh) ini datang bukan dari penyokong-penyokong kita. Ia dari orang sebelah sana (pembangkang) namun saya dan MB bukan orang baru berpolitik. MB sudah berumur 67 tahun dan telah terlibat politik sejak muda dan oleh itu, kita tidak akan tersilap makan propaganda. Kita sudah matang,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan yang dimuatnaik dalam akaun Facebook ‘Ops Johor’ baru-baru ini yang menyebut terdapat pergolakan antara Osman dan beberapa barisan exco kerajaan negeri antaranya Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Warisan negeri, Khuzzan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti, Jimmy Puah Wee Tse.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS