Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rotan murid enggan solat, ustaz dipenjara 6 bulan, denda RM2,000
Diterbitkan:  Nov 16, 2018 4:03 PM
Dikemaskini: 8:29 AM

Mahkamah Majistret di Kajang hari ini menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda maksimum RM2,000 terhadap seorang ustaz selepas dia didapati bersalah mencederakan kaki muridnya yang berusia 11 tahun dengan menggunakan rotan kerana murid lelaki itu enggan menunaikan solat.

Muhammad Adib Abd Halim, 24, dijatuhi hukuman itu oleh Majistret Nor Afidah Idris setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dia, yang dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini (tarikh jatuh hukum). Tuduhan itu membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Khairul Amin Abdullah yang mewakili Muhammad Adib bagi penggantungan pelaksanaan hukuman penjara sementara memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi, namun memerintahkan tertuduh membayar denda itu serta-merta atau dipenjara tiga bulan jika gagal ​​​​​​​membayar denda,

Muhamad Adib bagaimanapun membayar denda tersebut.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Muhammad Adib, yang berdiri di luar kandang tertuduh berpakaian baju Melayu hijau dan berkopiah putih, bagaimanapun kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Muhammad Adib mengaku tidak bersalah dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas murid darjah lima itu di bahagian kaki kiri dan kanannya dalam kelas di sebuah sekolah rendah di Bandar Seri Putra, Hulu Langat, pada 2.25 petang, 16 Ogos 2017.

​​​​​​​Terdahulu, Khairul Amin merayu supaya anak guamnya hanya diberikan perintah bon berkelakuan baik di bawah Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah, mengambil kira Muhammad Adib merupakan pesalah muda yang kali pertama dihadapkan ke mahkamah selain dia baru sahaja mendirikan rumah tangga Mei lepas dan perlu menyara isterinya selain tiada rekod kesalahan lain.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairul Iqram Hairuddin pula memohon hukuman berat kerana walaupun tertuduh masih muda, namun telah berada pada usia matang yang boleh membezakan perbuatan baik dan buruk, selain untuk memberi pengajaran.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS