Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Buat dialog terbuka, bukan edar Bible pada budak sekolah'
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 5:01 PM
Dikemaskini: 9:16 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang membidas tindakan enam individu yang mengedar kitab Bible dan risalah Kristian kepada pelajar sekolah sebagai tidak wajar.

Sebaliknya, beliau dipetik Sinar Harian sebagai berkata, pihak gereja seharusnya "lebih terbuka" termasuklah mengadakan dialog terbuka dengan pendakwah Islam.

Abdul Hadi turut memetik nama pendakwa kontroversi Dr Zakir Naik sebagai contoh.

"Sepatutnya dialog diadakan bukan berkaitan edaran (kitab) Bible tapi mengapa agenda Dr Zakir Naik tidak ditonjolkan.

"Sepatutnya pihak paderi dan orang Kristian terbuka dengan orang Islam untuk berdialog dan memang Islam menggalakkan kita berdialog.

"Kita ada Dr Zakir Naik dan lain-lain namun Dr Zakir Naik dibendung. Sepatutnya dibuat dialog terbukalah untuk mengetahui dan mencari kebenaran.

"Bukan mengedar Bible kepada mereka yang tiada pengetahuan tentang agama," beliau dilaporkan sebagai berkata.

Abdul Hadi berkata demikian mengulas tindakan enam individu yang mengedar Bible dan risalah Kristian di sekolah di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.

9 Nov lalu, polis merekod keterangan lima lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 30 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid mereka mendakwa tujuan pengedaran Bible bagi memberi pendedahan tentang kebaikan ajaran Kristian.

“Malah mereka juga beranggapan pengedaran Bible itu tidak menjadi kesalahan kerana sebelum ini pernah membuat edaran di hotel-hotel, klinik dan hospital,” kata Nik Ros.

Mengulas lanjut, anggota parlimen Maran itu berkata kebebasan untuk mengamal agama masing-masing di negara ini bukan bermakna boleh menyentuh sensitiviti umat Islam.

Abdul Hadi turut berharap agar kerajaan negeri mengikut undang-undang negeri masing-masing yang sudah termaktub dalam enakmen pentadbiran agama Islam.

"Di samping itu, kerajaan persekutuan juga ada bidang kuasa yang tertentu (bagi menangani perkara itu)," beliau dilaporkan sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS