Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tidak bagi kapal perang, boleh bagi bot kecil, kata Dr M kepada AS
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 3:05 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Tidak dibenarkan kapal perang di perairan ASEAN, namun bot kecil mungkin boleh, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Amerika Syarikat hari ini.

"Jika strategi itu tidak melibatkan penghantaran ‘The Seventh Fleet’di kawasan berkenaan, kita akan menyambut baik perkara itu,” katanya ketika ditanya mengenai pemahaman dan harapan ASEAN terhadap strategi Indo-Pasifik Amerika Syarikat.

Ketika berucap pada sisi Persidangan ASEAN 2018, beliau berkata Malaysia menyatakan pendiriannya bahawa lautan di sekitar rantau ASEAN hendaklah bebas daripada kapal perang yang besar.

"Bot peronda yang kecil diperlukan untuk membendung terutama lanun, tetapi kapal perang yang besar boleh menyebabkan insiden dan seterusnya mewujudkan ketegangan,” katanya.

‘The Seventh Fleet’ ialah kapal bernombor (satu pembentukan tentera) bagi Tentera Laut Amerika Syarikat. Ia sebahagian daripada Pacific Fleet Amerika Syarikat.

Ditanya mengenai jika isu Laut China Selatan juga dibincangkan dengan Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence yang berada di Singapura untuk Persidangan ASEAN-Amerika Syarikat keenam, Dr Mahathir berkata: “Kami semua bersetuju berhubung cara dan bagaimana untuk tidak meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan iaitu tidak membawa masuk kapal perang untuk dipandu arah sesuka hati di perairan Laut China Selatan dan penerbangan di atas Laut China Selatan tidak sepatutnya dicerobohi,”

“Selain daripada itu, sudah tentu kami memahami akan keperluan keselamatan dan keperluan keselamatan akan diselesaikan dengan hanya bot-bot peronda.

Mengenai isu perang perdagangan, Perdana Menteri berkata, beliau tidak membangkitkan isu itu tetapi ia dibangkitkan oleh pengerusi persidangan itu, Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

“Saya tidak membangkitkannya. Orang lain yang bangkitkan, saya fikir pengerusi sendiri yang membangkitkan isu itu dengan China dan Amerika Syarikat. Amerika Syarikat respon dengan baik perkara itu. Pence memberi reaksi munasabah dan berkata bahawa Presiden (Donald) Trump prihatin mengenai situasi di kawasan berkenaan.”

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS