Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham pesan Mindef ukur baju di badan sendiri
Diterbitkan:  Nov 15, 2018 1:59 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Bekas menteri pertahanan Hishamuddin Hussein meminta kerajaan 'mengukur baju' di badan sendiri dalam merancang perbelanjaan hal ehwal pertahanan negara.

Katanya, apa yang dijanjikan haruslah seimbang dengan apa yang dibentangkan dalam belanjawan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas peruntukan kementerian pertahanan (Mindef) yang dipotong sehingga RM2 bilion, sedangkan kerajaan membayangkan mahu membeli berbagai-bagai kenderaan dan peralatan ketenteraan.

“Kata nak beli pesawat terbang tanpa pemandu (UAV), pesawat peronda maritim (MPA), fast interceptor craft (FIC), tetapi peruntukan Mindef dikurangkan RM2 bilion.

“Kalau dulu pun kita tak mampu beli aset-aset sebegini, macam mana kerajaan hendak yakinkan orang ramai (hasrat membeli) aset-aset itu dapat dipenuhi sekarang dengan belanjawan yang telah dibentangkan?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kemampuan kerajaan menyelenggara aset-aset pertahanan yang dimiliki apabila peruntukan untuk penyelenggaraan turut banyak dipotong.

“Menteri (Mohamad Sabu) kata penyelenggaraan adalah seperti biasa, tetapi saya dapati dalam belanjawan kali ini peruntukan penyelenggaraan pun telah dikurangkan sebanyak 84 peratus.

“Jadi bagaimana kita nak pastikan (hal penyelenggaraan) aset-aset kita, kita boleh berpegang kepada (kata-kata) Mindef?”

Apabila ditanya adakah kerajaan perlu 'mengukur baju di badan sendiri’ (have a reality check), Hishammuddin menjawab, “Ya! Mereka kena seimbangkan apa yang mereka kata dengan apa yang dibentangkan di parlimen.”

Kementerian Pertahanan menerima peruntukan sebanyak RM13.92 bilion dalam Belanjawan 2019, iaitu kurang RM1.94 bilion daripada peruntukan tahun lalu.

Potongan paling tinggi adalah dalam perbelanjaan mengurus iaitu berkurangan sebanyak RM2.29 bilion kepada RM10.27 bilion tahun ini.

Bagaimanapun, perbelanjaan untuk pembangunan pertahanan meningkat sebanyak RM350 juta kepada RM3.65 bilion tahun ini. 

Selain itu Hishammuddin turut membangkitkan tentang peruntukan untuk kawasan Lahad Datu yang telah dipotong.

“Dia (Mohamad Sabu) kata Sabah akan dilindungi, tapi kita tahu peruntukan Lahad Datu telah dipotong menjadi kosong.

“[...] Angka-angka ada, semua orang boleh tengok,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS