Kira-kira 15 mahasiswa hari ini berarak kira-kira 8km ke parlimen di ibu negara bagi membantah keputusan baru kerajaan berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Mereka pada mulanya berkumpul di Universiti Malaya (UM) dan bergerak kira-kira jam 11 pagi dalam cuaca panas.
Ada antara mereka memakai pakaian siswazah dengan jubah dan topi segi empat siswazah, mereka tiba ke parlimen kira-kira sejam kemudian.
Kumpulan itu membantah tindakan kerajaan memperkenalkan pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus dari pendapatan bulanan peminjam berpendapatan lebih RM1,000.
Aktivis Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) itu berhasrat bertemu Menteri Pendidikan Maszlee Malik bagi menyampaikan memorandum empat tuntutan, iaitu:
(1) Menggesa kerajaan mewajibkan pembayaran balik PTPTN ke atas pihak yang mempunyai gaji RM4,000 ke atas.
(2) Menyarankan kerajaan mewujudkan Perbadanan Tabung Wakaf Pendidikan Negara untuk menampung kos pendidikan.
(3) Memotong gaji menteri, lantikan politik serta pegawai-pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan untuk pendidikan pelajar.
(4) Menuntut sekurang-kurangnya 25 peratus daripada belanjawan tahunan negara untuk pendidikan.
Bagaimanapun, hajat mereka menyerahkan memorandum itu bagaimanapun tidak menjadi kenyataan selepas dihalang anggota polis bertugas – yang jumlah jauh lebih ramai daripada pelajar.
“Kami sudah berjalan sejauh 9km. Ada antara kami yang tak makan pun lagi... semata-mata untuk bertemu dengan YB Maszlee.
“Tetapi malangnya hari ni kami diminta untuk tunggu di tepi jalan,” kata Presiden Gamis Muhammad Faizuddin Mohd Zai.
Bagaimanapun, memorandum itu kemudian diterima oleh seorang wakil Maszlee.