Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mengekalkan hukuman mati bukanlah penawar terhadap "ketidakadilan peribadi" yang berakibat daripada jenayah pembunuhan, kata Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Razali Ismail.

Bercakap kepada Malaysiakini, Razali berkata dunia mungkin ada ramai "orang gila" tetapi memansuhkan hukuman mati tetap menjadi langkah yang betul untuk diambil Malaysia.

"Terdapat banyak kejadian dan terdapat banyak tragedi peribadi. Dunia ini penuh dengan orang gila.

"Ia terjadi di sini, di sana, di India, di mana-mana... tetapi prinsip untuk memansuhkan hukuman mati kekal sebagai prinsip peradaban," kata Razali ketika ditemui pada suatu majlis Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (EU-UN) di Kuala Lumpur bersempena sambutan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat yang ke-70.

"Saya fikir dunia menerima pemansuhan hukuman mati dan kami bersama pendirian itu.

"Pasti akan selalu berlaku ketidakadilan peribadi tetapi kami tidak boleh terus dengan prinsip 'bunuh dibalas bunuh' itu," kata Razali ketika diminta mengulas kemarahan awam mengenai laporan seorang bayi berumur sembilan bulan maut selepas dirogol dan didera oleh suami penjaganya.

Hukuman mati tak cegah jenayah

Semalam, MP Gelugor Ramkarpal Singh berkata beliau selalu menyokong pemansuhan hukuman mati, namun kes sebegini membangkitkan keperluan budi bicara mahkamah mengenakan hukuman mati terhadap "kes jenayah yang cukup kejam itu."

Ramkarpal menggesa kerajaan mengekalkan hukuman mati bagi "kes-kes tertentu."

Menurutnya, kes ini termasuklah pembunuhan kejam terbaru melibatkan kes rogol dan bunuh bayi berusia sembilan bulan serta satu lagi kes dera kanak-kanak melibatkan mangsa yang berusia tiga tahun, dengan syarat bukti dan keterangan melampaui keraguan yang munasabah.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia (AIM) Shamini Darshni bersetuju dengan pendirian pengerusi Suhakam, berkata terdapat isu-isu yang belum selesai seputar hukuman mati yang memerlukan pemansuhannya.

"AIM bersimpati dengan keluarga yang kehilangan bayi tersebut dalam keadaan yang sangat mengerikan," katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui pada majlis EU-UN itu.

Pada masa yang sama, katanya ketetapan mandatori hukuman mati menjadi perhatian kerana seseorang hakim tidak dapat membuat keputusan dengan budi bicaranya bagi menjatuhkan hukuman mati terhadap kesalahan pembunuhan.

Shamini juga berkata hukuman mati tidak akan mencegah jenayah daripada berlaku.

"Kami tidak sama sekali memperkecilkan apa (tragedi) yang terjadi. Tetapi apa yang ingin kami katakan hukuman mati tidak memberi kesan pencegahan jenayah," kata Shamini.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS