Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Penulis teknologi sangkal dakwaan 'serangan siber' di Julau
Diterbitkan:  Nov 11, 2018 12:05 AM
Dikemaskini: 4:10 PM

PEMILIHAN PKR | Seorang penulis teknologi menyatakan keraguannya terhadap dakwaan berlakunya "serangan siber" terhadap tablet yang digunakan dalam pemilihan PKR di Julau hari ini.

Menerusi bebenang di Twitter, Keith Rozario menjelaskan aplikasi Prey yang ditemui di tablet itu, yang dinyatakan Rafizi Ramli sebagai 'malware', adalah perisian anti-kecurian yang sah.

"Ia bukan 'malware'. Aplikasi itu dalam kategori 'pengurusan peralatan mobil' (mobile device management, MDM). Biasanya digunakan pada peralatan korporat seperti telefon pintar agar syarikat boleh mengawalnya," kata Rozario.

Katanya, ada syarikat menggunakan MDM terhadap peralatan yang diberikan untuk kegunaan pekerja sebagai bentuk perlindungan jika ia dicuri atau pekerja itu disingkirkan.

"Untuk melindungi peralatan daripada pekerja bodoh atau berniat jahat, atau hanya pekerja yang tak berpuas hati, mereka biasanya memasang MDM dalam peralatan mereka.

"Ia untuk memadam data dari jarak jauh, atau memutuskan hubungan daripada server emel, atau menghalang 'jailbreak' (mengubahsuai sekatan oleh pengeluar peralatan).

"Prey adalah MDM, kewujudannya dalam peralatan tidak bermakna berlakunya 'serangan siber'," katanya lagi.

Rozario adalah seorang penulis teknologi yang banyak menulis berkenaan keselamatan digital. Pada November 2017, beliau menubuhkan laman sayakenahack.com yang membolehkan orang ramai memeriksa sama ada mereka menjadi mangsa kepada pencerobohan data peribadi syarikat telekomunikasi.

Berkenaan penggunaan tablet Android untuk sistem pengundian PKR, Rozario berkata sukar untuk melindunginya daripada individu berniat jahat yang ada di sekitar peralatan itu.

Katanya, itu sebabnya sistem menu iPad di restoran dan mesin ATM dilindungi dengan penutup logam.

 

"Jika penyerang mempunyai akses fizikal terhadap peralatan itu, maka game over," katanya lagi.

Beliau turut mempersoalkan sama ada PKR patut meneruskan pemilihannya memandangkan integriti sistem yang digunakan telah dipersoalkan berulang kali.

"Adakah Azmin atau Rafizi akan mengaku kalah, selepas mengambil kira apa yang berlaku, terutama jika mereka kalah dengan majoriti yang amat kecil? Apa keperluan meneruskannya?"

"Saya bukan anggota PKR, tetapi seabgai pengamal IT saya tak akan yakin dengan keputusan daripada (sistem seumpama ini). Anda juga patut begitu," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS