PEMILIHAN PKR | Keputusan pemilihan peringkat Cabang Julau digantung selepas jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) mendakwa berlakunya "serangan siber".
Pengerusi JPP Rashid Din berkata pada pukul dua petang tadi, pegawai sistem dan IT mengesan sepuluh daripada tablet yang digunakan untuk pengundian hari ini telah "diceroboh" perisian yang dipanggil Prey.
"Maklumat yang diterima menyebut perisian ini digunakan untuk memadam aplikasi e-undi dalam tablet, mencuri data, mengubah kata laluan dan mengawal tablet menggunakan komputer dari jarak jauh," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, calon timbalan presiden Rafizi Ramli yang berada di sana mendakwa Prey adalah sebuah 'malware'.
Rashid berkata siasatan awal mendapati Prey dimasukkan (install) secara fizikal ke tablet, yang diberikan kepada PKR Julau pada pukul empat pagi tadi.
Menurut laman webnya, pembangun Prey menyatakan ia adalah perisian antikecurian yang membolehkan pengguna mengesan peralatan mereka, tetapi juga "membuang data dan fail dalam peralatan yang hilang dari jarak jauh."
ia juga membolehkan pengguna menguruskan dan mengendalikan "ribuan peralatan" secara serentak.
Selepas mengesan perisian itu di tablet, kata Rashid, pegawai IT telah meletakkan aplikasi e-undi ke mode offline, selain menyahaktif kuasa pentadbir (administrator) aplikasi itu dan memadam Prey daripada peralatan.
Katanya, keputusan di Julau akan digantung sehinggalah tablet itu kembali pada keadaan biasa dan proses penyatuan data selesai.
JPP juga sedang menyiasat sama ada "serangan siber" seumpamanya turut berlaku di pemilihan cabang yang lain, katanya lagi.
Cabang Julau menjadi perhatian ekoran kenaikan keanggotaan yang mendadak pada 26 Jun lalu, menjadikan jumlahnya meningkat daripada 603 kepada 13,549 dalam masa sehari.
Rungutan berkenaan kejanggalan timbul dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk pendaftaran anggota parti lain tanpa pengetahuan mereka dan menggunakan alamat meragukan.
Bagaimanapun, Setiauasaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution membersihkan cabang itu daripada sebarang keraguan dan berkata proses pendaftaran anggota berjalan secara sah.