Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB: Kelantan minta pandangan Dr M bangunkan negeri

Soal pembangunan negeri Kelantan menjadi tumpuan dalam pertemuan empat mata antara Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bagaimanapun kata Ahmad Yakob isu bayaran royalti petroleum seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) tidak disentuh kerana ia sudah dibincang sebelum ini.

"Kita raikan beliau datang ke Kelantan, di samping itu kita bincang bagaimana Kelantan nak bangkit semula.

"Beliau (Mahathir) kata Kelantan ini orang Melayu, insyaAllah kita berbincang untuk masa depan negeri ini, kena banyak usaha," katanya kepada pemberita selepas pertemuan kira-kira setengah jam itu.

Kata Ahmad Yakob, antara yang diajukannya adalah potensi sektor pertanian dan penternakan di negeri yang ditadbir PAS itu.

"Saya beritahu masih banyak peluang dalam sektor pertanian untuk dibantu (persekutuan). Misalnya kita ada pelan Naim Beef.

"Kita boleh keluar daging lembu yang baik dan kita ada padang ragut yang luas. Kita minta pandangan beliau (dalam perkara ini) sebagai orang yang berpengalaman sebagai perdana menteri," katanya.

Naim Beef atau Pelan Pembangunan Sistem Lembu Pedaging Hibrid yang sebelum ini dilaporkan telah melahirkan 19,840 penternak di negeri itu.

Ketika pertama kali Mahathir sebagai perdana menteri, timbul banyak dakwaan Kelantan dipinggirkan oleh kerajaan persekutuan berikutan negeri itu yang ditadbir pembangkang.

Ini merupakan kunjungan pertama perdana menteri ke Kelantan selepas PRU ke-14. Pada Jun lalu, rombongan kerajaan Kelantan diketuai Ahmad Yaakob telah mengadakan pertemuan dengan Mahathir di Putrajaya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS