Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menyahut saranan timbalan perdana menteri dengan membekukan aktiviti pembalakan selama dua bulan bermula 15 November ini hingga 15 Januari 2019 bagi mengelakkan tragedi di musim tengkujuh.
Pengarahnya Datuk Zahari Ibrahim berkata, pekeliling akan diberikan pada minggu hadapan kepada semua pembalak kerana arahan berkenaan baru saja diluluskan kerajaan negeri.
Menurutnya, arahan itu juga turut melibatkan aktiviti pelancongan di hutan rekreasi kepada orang awam bagi tempoh yang sama untuk menjaga keselamatan mereka sekirannya berlaku bencana alam.
"Sudah menjadi kebiasaan aktiviti pembalakan akan dibekukan sementara setiap tahun bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku kepada pembalak.
"Begitu juga di semua pusat rekreasi seperti Gunung Stong di Kuala Krai yang akan ditutup kepada orang awam.
"Kita tidak mahu bencana alam seperti banjir kilat, serta tanah runtuh berlaku sama ada ketika mereka melakukan kerja pembalakan dan menjalankan aktiviti mendaki gunung dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini," katanya ketika dihubungi, di Kota Bharu, hari ini.
Beliau diminta mengulas gesaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail supaya Kelantan mengikut langkah Pahang yang membekukan pembalakan sepanjang musim tengkujuh yang melanda negeri-negeri Pantai Timur.
Menurut Azizah, langkah itu sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain termasuk Kelantan dan Terengganu bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.
Semalam Malaysiakini melaporkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sudah menjadi amalan biasa kepada pembalak di negeri Kelantan untuk menghentikan aktiviti mereka apabila tiba musim.
Beliau berkata, sebelum ini sememangnya kerajaan negeri ada mengeluarkan arahan supaya pembalak tidak meneruskan aktiviti mereka sepanjang musim hujan.
"Memang dulu kita buat (arahan), cuma tahun ini kita belum keluarkan arahan lagi. Bulan November dan Disember kita minta semua pembalak hentikan aktiviti.
"Dan biasanya pengalaman yang lepas, pembalak sendiri tak buat kerja musim tengkujuh, biasanya mereka perlahankan dan ada sebahagiannya hentikan terus. Sebab memang tak boleh buat kerja kerana hujan," katanya.
Sementara itu Zahari berkata, tempoh dua bulan yang ditetapkan itu akan dilanjutkan jika keadaan cuaca masih tidak baik untuk kerja pembalakan dan riadah.
Katanya, JPNK akan sentiasa memantau dengan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi melihat keadaan cuaca.
"Jika keadaan cuaca tidak berubah (buruk), kita akan minta kerajaan negeri untuk melanjutkan tempoh tersebut, " jelasnya.