Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
58% PPR dan PA di KL jadi lokasi paling berisiko tinggi penagihan dadah.
Diterbitkan:  Nov 8, 2018 7:13 AM
Dikemaskini: Nov 8, 2018 12:16 AM

Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK) mengesyorkan supaya kerajaan mewujudkan undang-undang baharu dengan membabitkan peranan ibu bapa bagi membanteras gejala sosial dalam kalangan remaja.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata peraturan itu membolehkan pihak berkuasa memanggil ibu bapa atau penjaga hadir ke sesi kaunseling berhubung masalah sosial anak khususnya isu penyalahgunaan dadah.

"AADK berharap kerajaan mewujudkan undang-undang khas membabitkan peranan ibu bapa agar mereka ambil peduli semua tindakan anak mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.

"Langkah ini dilihat dapat membantu mencari penyelesaian di samping menghalang golongan remaja daripada terus terjerumus dalam kancah penyalahgunaan dadah dan masalah sosial lain," katanya kepada pemberita pada program 'Tea Talk Antidadah' di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai di Pantai Dalam di sini, hari ini.

Kata Zulfikli, cadangan itu disyorkan susulan hasil operasi serbuan agensi itu ke kawasan PPR yang mendapati ramai remaja bawah 18 tahun terlibat dengan dadah sehingga sanggup menjadi ‘mata-mata’ atau 'penjaga air' kepada tokan dadah.

Beliau berkata selain mewujudkan peraturan, masyarakat secara khususnya perlu mengubah mentaliti dan stigma negatif terhadap bekas penagih dadah.

"Ramai bekas penagih kembali terjerumus dengan dadah kerana stigma masyarakat yang memandang serong terhadap mereka.

"Masyarakat perlu sedar proses pemulihan adalah berterusan, selepas keluar dari pusat pemulihan, mereka (bekas penagih) perlukan sokongan komuniti," katanya.

Dalam pada itu, Zulfikli turut mendedahkan sebanyak 58 peratus atau 178 PPR dan Perumahan Awam (PA) di seluruh Kuala Lumpur dikenal pasti sebagai zon merah atau lokasi paling berisiko tinggi penagihan dadah.

Berdasarkan data AADK Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sehingga Oktober tahun ini, 10 kawasan PPR dalam zon merah ialah di Wangsa Maju, Setapak, Sentul, Jinjang, Bandar Cheras, Sungai Besi, Salak Selatan, Pantai Dalam, Petaling dan sekitar Dang Wangi.

Kebanyakan pengedar dan penagih dadah menjadikan unit rumah berpenghuni serta kosong, bawah tangga dan taman permainan sebagai 'port' atau lokasi utama transaksi jual beli dadah selain sebagai tempat melepas gian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS