Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa persoal lawatan Wan Azizah ke Julau, Sarawak
Diterbitkan:  Nov 7, 2018 11:45 AM
Dikemaskini: 3:52 AM

Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya mempersoalkan lawatan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak semalam menjelang pemilihan parti di negeri itu Sabtu ini.

Menyifatkan lawatan itu sebagai tidak wajar, Latheefa mendakwa Wan Azizah menggunakan jentera kerajaan untuk melawat negeri itu atas kapasiti sebagai timbalan perdana menteri serta menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

"Lawatan Wan Azizah ke Julau melibatkan penggunaan kedudukan rasmi dan aset kerajaan. Beliau juga mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk jalan di Julau.

"Ini diumumkan dengan kehadiran Larry Sng, yang juga calon pemilihan di bahagian Julau dan jawatankuasa pusat parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Latheefa, yang difahamkan merupakan penyokong timbalan presiden Datuk Seri Azmin Ali, berkata Sng sebelum ini "secara terbuka mengisytiharkan" kesetiaan kepada pesaing Azmin, Rafizi Ramli.

Anggota Parlimen Julau itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas sekumpulan pimpinan PKR Sarawak membuat laporan berhubung keanggotaan dalam PKR cabang Julau yang menyaksikan tambahan ahli kepada lebih 13,000.

Latheefa menggesa Wan Azizah menjelaskan mengapa beliau membuat keputusan untuk melawat cabang yang dianggap "kontroversi" itu semasa pemilihan berlangsung.

"Pemilihan PKR Julau sangat kontroversial.

"[...] Dalam keadaan ini, penting untuk menjelaskan sebab dan lawatannya ke Julau pada malam sebelum pemilihan PKR Sarawak; orang ramai berhak tahu, "katanya.

Anggota parti politik lain - Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) dan Parti Rakyat Sabah (PRS) - juga sebelum ini membuat laporan polis mendakwa mereka didaftarkan sebagai anggota PKR Julau tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka.

Sabtu lepas, SPRM menahan seorang lelaki yang disyaki bertanggungjawab menguruskan pendaftaran 'pengundi hantu' dalam pemilihan parti berkenaan. 

Dilaporkan bahawa SPRM telah melawat ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dan merampas beberapa dokumen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS