Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bajet paling besar konon, kata Najib
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 3:27 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

"Suara pejuang-pejuang mahasiswa sudah tidak kedengaran. Bayangpun sudah entah ke mana. Saya rindu anda semua".

Demikian sindiran terbaru bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di laman Facebooknya, sekali lagi mengulas Belanjawan 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Kali ini bekas presiden Umno itu memfokuskan pelbagai bantuan pendidikan yang pernah diberikan kerajaan BN tetapi kini dipotong kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

"PTPTN kita tak perlu sebutlah, sebab bukan setakat ditipu, lebih sengsara dengan dasar mereka kini," katanya merujuk pemotongan gaji dua hingga 15 peratus terhadap peminjam PTPTN yang berpendapatan RM1,000 ke atas.

Menurut Najib kerajaan HARAPAN sebelum ini menguar-uarkan belanjawan mereka sebagai 'paling besar', namun tidak banyak manfaat diperoleh ibu bapa, pelajar dan guru.

"Mereka (HARAPAN) beria meninggi hidung umumkan Bajet 2019 adalah 'paling besar',"

"Ya, 'paling besar', tapi apa sebenarnya yang ibu bapa, pelajar dan guru dapat?"

"RM250 subsidi pendidikan seperti Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) atau KADS1M, tidak disebut. 

"Rasanya kini tiada lagi. Kita tunggu menteri buat u-turn," katanya.

 

'Habis semua dipotong'

Najib turut menyenaraikan beberapa potongan bantuan pendidikan seperti bantuan makanan prasekolah (dipotong sebanyak RM10 juta), bantuan makanan asrama (dipotong RM100 juta), biasiswa kecil persekutuan untuk murid-murid (dipotong RM28 juta), peruntukan biasiswa perguruan persekutuan (dipotong RM6.5 juta) dan bonus penjawat awam daripada RM1,500 kini tinggal RM500.

"Mungkin murid-murid dan guru termasuk golongan 'rakyat Malaysia yang tak patut diberi bantuan dan subsidi sebab malas' seperti kata kerajaan HARAPAN.

"Kerajaan BN dulu merangka bajet berdasarkan keperluan rakyat. Kami ikhlas nak beri dan bantu. 

"Sekarang habis semua mereka potong. Bajet 'paling besar' konon," tambahnya.

Untuk rekod, Najib sendiri pernah memotong perbelanjaan untuk beberapa program pada masa lalu.

 

 

Dalam Bajet 2017,  beliau memansuhkan Biasiswa Kecil Persekutuan (RM100 juta pada 2016), dan Biasiswa Latihan Perguruan (RM50 juta pada 2016) sebelum membiayai semula program itu dalam Bajet 2018.

Peruntukan untuk program bantuan makanan prasekolah juga dipotong secara beransur-ansur oleh pentadbiran Najib daripada RM92.99 juta pada 2016, kepada RM90 juta pada tahun 2018.

Sementara itu, RM5 juta dipotong daripada program bantuan makanan sekolah asrama pada 2017 kepada RM1.07 bilion, sebelum Najib menambah peruntukan itu kepada RM1.1 bilion pada 2018.

Secara keseluruhannya, bajet Kementerian Pendidikan untuk tahun 2019 adalah sebanyak RM60.23 bilion, berbanding RM59.85 bilion yang diperuntukan Najib kepada Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi yang kini telah digabungkan.

 

 

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS