Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan dakwaan bahawa pihaknya mengenepikan adat dan budaya, susulan tularnya pekeliling arahan larangan penggunaan pantun dalam acaranya.
Dalam satu kenyataan hari ini, ATM berkata larangan itu hanya untuk majlis rasminya yang berifat rejimen.
"Arahan yang dikeluarkan adalah sebagai peringatan dalaman kepada semua Markas Perkhidmatan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), agar tidak menggunakan seloka pantun dan jenaka oleh juruacara ketika majlis rasmi ketenteraan.
"Majlis rasmi di dalam ATM adalah bersifat rejimen dan pelaksanaannya dilakukan dengan tertib, penuh dengan adab dan etika ketenteraan," kata ATM.
Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan Tan Sri Rais Yatim yang mempertikai larangan itu.
Memuat naik pekeliling itu di laman Twitternya, Rais menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta golongan sasterawan supaya berbuat sesuatu.
“Baca surat ini. Takkanlah Melayu dah begitu daif budaya sendiri hinggakan nak berpantun pun dihalang,” katanya.
Surat bertarikh 2 November lalu ditandatangani Ketua Staf Markas ATM, Datuk Kamalruzaman Mohd Othman, yang berkata ketetapan itu setelah perbincangan dengan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
ATM berkata lagi, arahan itu terpakai untuk majlis rasmi seperti perbarisan; majlis rasmi di peringkat ATM, dan perkhidmatan TDM, TLDM dan TUDM; dan yang melibatkan Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja dan pembesar negeri.
Namun, kata ATM lagi, kelonggaran diberikan bagi majlis tidak bersifat rejimen seperti sukan dan jamuan bersama anggota keluarga.