Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Perak ingatkan HARAPAN belajar dari kesilapan k'jaan dulu

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan kerajaan pada hari ini agar belajar daripada kesilapan pentadbiran terdahulu kerana rakyat sedia menolak pemimpin yang menyalah guna kuasa.

Sultan Nazrin Shah bertitah rakyat bersedia mendedahkan dan menolak pemimpin yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, mengumpul kekayaan untuk anggota keluarga, atau menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

“Belajarlah daripada kesilapan mereka yang terdahulu. Amat hampalah rakyat, jika pilihan yang baru, turut mengulangi kesilapan yang sama, apatah lagi jika melakukannya secara lebih buruk,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan bersempena ulang tahun ke-62 keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, Perak.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa, Raja DiHilir Perak Raja Iskandar Raja Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Sultan Nazrin bertitah budaya politik pasca 61 tahun merdeka menuntut kepada menu dan resepi baru dalam persekitaran politik yang baru.

Titah baginda, para pemimpin politik perlu membaca mesej rakyat secara tepat demi menjamin rakyat dapat hidup dalam suasana rukun lagi harmoni, dalam hasrat membina sebuah negara yang stabil lagi aman, dalam usaha membangunkan sebuah negara yang makmur lagi sejahtera.

“Kaedah memperoleh pengaruh melalui persaingan untuk menunjukkan siapa yang lebih Melayu, lebih Cina, lebih India, lebih Kadazan atau lebih Iban selain persaingan mendapatkan pengaruh untuk menunjukkan siapa yang lebih Islam, lebih Kristian, lebih Hindu atau lebih Buddha, ketara semakin tidak relevan.

“Di sebaliknya, rakyat lebih mengutamakan untuk menilai siapa yang lebih bersih, lebih amanah, lebih telus dan lebih cekap mengurus tadbir. Rakyat mahukan pemimpin yang menunjukkan sikap lebih sedia mendengar daripada sikap hanya mahu didengar,” titah baginda.

Baginda bertitah rakyat mengimpikan pengagihan kekayaan yang lebih saksama, peluang pekerjaan yang lebih terjamin, taraf hidup yang lebih baik, tadbir urus yang lebih telus, pemimpin yang lebih amanah.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang adil lagi saksama, pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang dikuatkuasakan tidak secara selektif, melalui badan kehakiman yang berintegriti, dikendalikan oleh barisan hakim yang tidak memihak – tidak gentar, serta bebas daripada campur tangan politik.

“Rakyat mengimpikan pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, kesaksamaan kaum, kesaksamaan agama, kesaksamaan wilayah,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah rakyat juga mengimpikan perkhidmatan persosial yang penting seperti kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan, kemudahan kesihatan yang mudah diakses, pengangkutan awam yang meringankan tanggungan perbelanjaan serta program perumahan mampu milik yang dilengkapi kemudahan rekreasi dan sosial.

“Rakyat mengimpikan sebuah negara yang bebas daripada kekacauan dan persengketaan, agar warganya hidup dalam harmoni, saling menghormati, saling bekerjasama, tanpa dipisahkan oleh tembok prejudis agama dan prasangka kaum,” titah baginda.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS