Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada sebab mengapa Dr M nak jadi menteri pendidikan

BELANJAWAN 2019 | Tun Dr Mahathir Mohamad berkata memang sangat wajar Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan paling tinggi berbanding kementerian lain dalam belanjawan kali ini.

Menurut Perdana Menteri pada ketika ini bidang pendidikan jauh berbeza berbanding waktu dulu dan memerlukan semua pihak belajar sebanyak mungkin untuk mengelak daripada tercicir.

Menyedari kepentingan bidang berkenaan, justeru Dr Mahathir berkata beliau cuba menjadi menteri pendidikan sebelum ini.

“Bidang pendidikan sangat penting.

"Saya nak jadi menteri pendidikan, mereka (orang ramai) tak bagi.

"Tapi, masyarakat kita tetap perlu dididik," katanya pada sidang media selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan belanjawan di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod pada awal penubuhan kabinet Pakatan Harapan (HARAPAN) dulu Dr Mahathir menduduki jawatan menteri pendidikan.

Kena banyak belajar

"Saya ambil alih portfolio pendidikan kerana saya fikir ramai orang tidak berpendidikan di negara ini, jadi saya fikir saya akan beri tumpuan saya.

"Selain itu, saya fikir cara pengajaran kita sudah ketinggalan zaman.

"Hari ini dengan komputer dan peralatan lain, kita harus mencipta cara pengajaran baru," katanya pada 17 Mei lalu, iaitu kira-kira seminggu selepas HARAPAN menafikan cubaan BN untuk kekal di Putrajaya.

Bagaimanapun akvitis dan kumpulan sivil mengkritik langkah tersebut kerana ia bercanggah dengan manifesto HARAPAN yang dibentangkan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Menurut manifesto itu seseorang perdana menteri tidak dibenarkan memegang portfolio lain semasa menjalankan tugas, terutama sebagai menteri kewangan.

Bagaimanapun untuk rekod semasa menjadi perdana menteri kali pertama dulu Dr Mahathir pernah menjadi menteri kewangan untuk satu tempoh.

Sebelum menjadi perdana menteri beliau juga pernah menjadi menteri pendidikan iaitu antara 1974 dan 1977.


Baca Kementerian Pendidikan terima peruntukan paling banyak


Pemimpin HARAPAN kemudian bersetuju melantik ahli akademik yang juga anggota parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, sebagai menteri pendidikan yang baru.

Untuk belanjawan kali ini kerajaan memperuntukkan RM60.2 bilion bagi kementerian pendidikan.

Kata Dr Mahathir untuk berjaya pada era ini seseorang perlu belajar pelbagai bidang dan ia sama sekali berbeza berbanding waktu dulu.

“Teknologi maklumat, sains, matematik, algoritma, semua ni kita kena tahu, jika tidak akan ketinggalan di belakang,” katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS