Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bonus RM500 untuk penjawat awam, RM250 untuk pesara
Diterbitkan:  Nov 2, 2018 6:45 PM
Dikemaskini: 11:36 AM

BELANJAWAN 2019 l Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mengumumkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah.

Katanya, bayaran itu sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi penjawat awam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas sumbangan mereka dalam menjamin keselamatan serta keamanan negara.

“Sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi kesemua penjawat awam semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka, kerajaan mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan bawah.

“Bayaran khas sebanyak RM250 juga akan diberi kepada pesara kerajaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Lim, jumlah bayaran khas ini adalah sebanyak RM1 bilion.

“Berbanding dengan pentadbiran dahulu yang lazimnya menyalurkan bayaran khas pada tahun depan, kerajaan Pakatan Harapan ini akan menyalurkan bayaran khas sebelum hujung tahun 2018 ini,” katanya.

Lim turut mengumumkan bantuan RM500 secara ‘one-off’ atau sekali beri akan disalurkan kepada pesara kerajaan yang berkelayakan.

Katanya, pemberian peruntukan itu ialah cerminan keprihatinan kerajaan terhadap keluhan dan rungutan disuarakan pesara kerajaan.

"Ada dalam kalangan mereka (pesara kerajaan) yang masih menerima pencen kurang daripada RM1,000.

"Oleh itu, kerajaan akan beri bantuan ‘one-off’ ini kepada mereka yang layak," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS