Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda AMANAH, Puteri Umno setuju 'perintah berkurung' remaja Kelantan

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Puteri Umno Kelantan menyambut baik cadangan kerajaan negeri mengkaji pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam melibatkan golongan remaja.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan berkata golongan remaja di awal usia amat mudah terdedah kepada ancaman dan pengaruh gejala sosial yang boleh menyumbang kepada peningkatan kes jenayah di negeri ini.

Katanya, cadangan yang dikemukakan exco kebajikan, pembangunan keluarga dan wanita Kelantan, Mumtaz Md Nawi itu menggambarkan masalah gejala sosial negeri itu sebenarnya berada di tahap yang amat membimbangkan.

"Antaranya gejala penyalahgunaan dadah, budaya lumba haram dan kes jenayah kecurian sehingga ke jenayah seksual ini sukar untuk kita nafikan wujud keterlibatan pelaku jenayah di peringkat umur juvana dalam negeri Kelantan.

"Walaupun begitu, diharapkan Kerajaan Kelantan tidak berusaha sekerat jalan, dan kami berharap agar usaha pengenalan peraturan ini dapat dikuatkuasakan dengan lebih baik, agar tidak menerima nasib sebagaimana penguatkuasaan undang-undang sebelum ini yang hanya berjaya diperkenalkan tetapi gagal dilaksanakan," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Mumtaz mengemukakan cadangan perintah berkurung melalui penguatkuasaan undang-undang tersebut ketika menyampaikan ucapan penggulungan Belanjawan Kelantan 2019, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Bina lebih banyak pusat rekreasi

Sementara itu Hazmi berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan negeri membina lebih banyak pusat rekreasi dan taman riadah di setiap bandar, selain membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam di negeri itu.

"Ini kerana remaja merupakan aset berharga tanah air kita. Mereka harus dipandu dan dibimbing, agar zaman aktif remaja kita tidak dipersiakan hanya kerana kita gagal menyediakan infrastruktur untuk kegunaan aktiviti dan rekreasi mereka ketika kita membatasi kebebasan mereka.

"Sudah pastinya semua ini boleh menjadi bencana emosi buat golongan remaja kita, yang akhirnya mencetuskan pemberontakan di kalangan mereka terhadap sekatan yang dikenakan," jelasnya.

Tambahnya, di negara-negara maju alternatif disediakan kepada remaja untuk beraktiviti di siang hari.

"Kita perlu budayakan golongan remaja yang aktif tapi berdisiplin, bukan terus terusan untuk menghukum dan memaksa tanpa kita mempedulikan keperluan jasmani dan rohani mereka, agar nantinya kita dapat melahirkan generasi yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

"Sebagai contoh jika remaja di luar Kelantan mereka sibuk dengan kelas piano, klinik bola sepak atau badminton dan pelbagai aktiviti pada siang hari. Ini berbeza di Kelantan yang ketandusan aktiviti terhadap remaja yang mengakibatkan mereka mencipta hiburan mereka sendiri," kata Hazmi.

Sementara itu bagi Ketua Penerangan Puteri Umno Kelantan, Najihah Yasim berkata, cadangan pendekatan itu dilihat mempunyai kebaikan dalam usaha membanteras masalah sosial di kalangan remaja.

Namun katanya, nama 'perintah berkurung' itu dilihat seperti menghukum dan dikhuatiri menimbulkan rasa memberontak kepada golongan sasar.

"Selain itu, kerajaan negeri perlu juga melihat keperluan golongan itu khususnya dalam penglibatan aktiviti pada malam hari seperti aktiviti sukan atau kelas-kelas pembelajaran tertentu.

"Mungkin kerajaan negeri ada kaedah yang boleh disusun agar 'perintah berkurung' itu nampak lebih rasional selain komitmen ibu bapa," katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS