Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Amar Singh nafi polis paksa Justo mengaku Najib 'PM terbaik'
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 12:01 PM
Dikemaskini: 4:01 AM

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh, menafikan kenyataan bekas eksekutif PetroSaudi International, Xavier Justo yang mendakwa polis memaksanya membuat pengakuan bahawa Datuk Seri Najib Razak adalah “perdana menteri terbaik”.

Mengulas laporan Malay Mail, pegawai kanan Bukit Aman itu berkata beliau memang terbabit mengetuai pasukan polis untuk merakamkan kenyataan Justo pada tahun 2015, tetapi berkata bahawa soalan itu "tidak relevan".

"Jelas, persoalan siapa perdana menteri terbaik tidak relevan dengan kes yang sedang disiasat.

"Justeru, kami tentu tidak akan bertanyakan soalan yang tidak relevan itu," katanya yang dipetik oleh portal itu semalam.

Amar berkata bahawa pihak polis merakamkan kenyataan Justo berhubung dengan e-mel berkaitan 1MDB yang dikatakan dibocorkan oleh eksekutif PetroSaudi itu yang diterbitkan oleh Sarawak Report.

Ketika itu, Justo sedang meringkuk di sebuah penjara di Bangkok kerana peranannya dalam memeras ugut bekas majikannya, Petrosaudi, sebuah syarikat minyak dan gas di Arab Saudi, dengan data yang diambilnya daripada mereka.

Polis Thailand mendakwa bahawa Justo membocorkan dokumen dari Petrosaudi, berhubung usaha sama firma itu dengan 1MDB, yang diterbitkan oleh media Malaysia dan antarabangsa, yang kemudiannya membentuk asas penyiasatan pengubahan wang haram berkaiatan dana tersebut.

Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun tetapi dibebaskan selepas 18 bulan pada Disember 2016 setelah diberi pengampunan oleh Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.

Malay Mail semalam memetik Justo sebagai berkata dia dipaksa membuat pengakuan secara terbuka bahawa Najib adalah “perdana menteri terbaik” kepada pegawai polis Malaysia, termasuk Amar.

Dia dilaporkan berkata bahawa pengakuan itu merupakan salah satu syarat bagi jaminan pembebasannya.

Warga Switzerland itu dilaporkan memberitahu demikian pada persidangan mengenai jenayah kewangan di Kuala Lumpur.

“Ada tiga wakil polis Malaysia dan mereka suruh saya kata yang saya ini orang jahat, saya sukakan wang dan Tarek (Obaid) serta PetroSaudi adalah baik.

“Dan saya juga disuruh berkata Najib perdana menteri terbaik...semestinya saya tidak tahu jika dia begitu.”

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS