ADS
mk-logo
Berita
MB K'tan ucap 'selamat berhijrah' kepada Tok Pa
Diterbitkan:  Oct 31, 2018 10:54 AM
Dikemaskini: 2:57 AM

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengucapkan tahniah kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jumaat lepas.

"Selamat berhijrah dan semoga berjaya," kata Ahmad ketika bangun menjawab soalan tambahan dikemukakan Mustapa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim.

Terdahulu, Mustapa, sebelum mengemukakan soalan tambahan kepada Ahmad, mengucapkan terima kasih kepada Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya'kub kerana meluluskan cuti beliau selama dua hari.

Mustapa sebelum ini tidak menghadiri sidang DUN Kelantan yang bermula Isnin lepas.

Beliau turut memohon maaf kepada Ahmad kerana tidak dapat mengikuti ucapan Belanjawan 2019 yang dibentangkan pada hari pertama persidangan DUN, Isnin lepas.

ADS

"Yang ketiga, terima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat kerana memberi nasihat dan teguran sempena penghijrahan saya," katanya.

Selepas Mustapa mengemukakan soalan tambahan, Abdullah bertanya kepada Mustapa adakah benar ADUN Air Lanas berkenaan telah berhijrah kepada parti baharu.

"Betul," jawab Mustapa ringkas.

Soalan tambahan dikemukakan Mustapa termasuklah adakah kerajaan negeri mempunyai sasaran untuk mencapai belanjawan seimbang dalam masa terdekat dan apa sumbangan kerajaan persekutuan untuk memastikan kerajaan negeri dapat meneruskan usaha-usaha berkenaan.

Ahmad, dalam jawapannya berkata kerajaan negeri mempunyai kesungguhan untuk berbuat demikian selepas defisit yang semakin berkurangan setiap tahun.

"Insya-Allah tahun depan, kalau Allah Taala beri rezeki... kalau ada rezeki dari laut (pembayaran royalti) dan Allah Taala naikkan, insya-Allah (kita akan capai belanjawan berimbang)," katanya.

Terdahulu, Ahmad Fathan Mahmood (PAS-Chempaka) bertayakan soalan apakah langkah-langkah perbelanjaan berhemah yang telah dilaksanakan kerajaan negeri dalam memastikan defisit kewangan negeri dapat dikurangkan seterusnya pembangunan dapat berjalan dengan baik dan lancar.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS