Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini melancarkan portal mencari jodoh, yang pertama seumpamanya yang dikendalikan oleh agensi kerajaan sebagai usaha untuk membantu individu khususnya yang lanjut usia mencari mencari pasangan.
Pengarahnya Datuk Mohd Yusop Husin berkata portal yang dibangunkan oleh JAIPk dengan kerjasama kPerak, anak syarikat kerajaan negeri itu, boleh diakses menerusi laman web cintasakinahjaipk.perak.my mulai hari ini.
Bagaimanapun ada beberapa syarat yang dikenakan ke atas individu yang ingin mendaftar di portal itu antaranya beragama Islam dan belum berkahwin.
"Sebagai contoh individu itu belajar atau bekerja dan sukar mendapat jodoh, jadi kita akan bantu mereka dengan kandungan yang ada dalam laman web itu untuk memudahkan mereka mencari jodoh. Buat sementara ini keutamaan adalah rakyat Perak dan sekiranya sambutan diterima mengalakkan kemungkinan usaha itu akan dikembangkan ke peringkat Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pelancaran laman sesawang itu dan Modul Pemahaman Poligami Negeri Perak yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak Asmuni Awi di sini.
Menjelas lanjut Mohd Yusop berkata jika sudah ada pilihan, JAIPk akan mengatur pertemuan antara kedua-dua pihak di pejabat agama daerah atau Ibu Pejabat JAIPk bagi memastikan pasangan berkenaan sesuai selain hubungan mereka dipersetujui keluarga masing-masing.
“Sekiranya mereka mahu JAIPk bantu untuk meminang, kita akan aturkan seperti mana kita buat nikah Jamie Syarie,” katanya.
Mengenai modul pemahaman poligami, Mohd Yusop berkata ia bertujuan memberi pendedahan dan penerangan sebenar kepada masyarakat khususnya golongan suami tentang tanggungjawab serta kemampuan untuk berkahwin lebih daripada satu.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif KPerak Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff berkata semua kandungan portal cintasakinahjaipk.perak.my dikawal selia oleh JAIPk manakala KPerak membantu daripada segi kepakaran teknologi.
Beliau turut memberi jaminan maklumat individu yang mendaftar dilindungi selain pihak JAIPk dan KPerak turut membuat pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara di samping mengenal pasti sama ada mereka yang mendaftar pernah terlibat dengan kes jenayah.
- Bernama