Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masih ada rakyat terhibur tengok kapal terbang di Kelantan

DUN KELANTAN | Antara sedih dan malu, Ketua Pembangkang Datuk Md Alwi Che Ahmad nampaknya terpaksa pasrah apabila melihat bagaimana sesetengah penduduk Kelantan menjadikan aktiviti pesawat udara di lapangan terbang negeri itu sebagai hiburan mereka.

Kata Md Alwi tahap pembangunan pusat-pusat rekreasi di Kelantan pada ketika ini sangat menyedihkan.

Ketika bangkit mengemukakan soalan tambahan hari ini beliau menyatakan, tidak ada negeri di dunia ini menjadikan kawasan lapangan terbang sebagai tempat 'hiburan' seperti di Kelantan.

"Kalau kita mengembara ke seluruh dunia, semua bandar ada taman.

"Contohnya di London, New York, Kuala Lumpur pun ada taman-taman, dan ini perkara yang amat diperlukan oleh penduduk.

"Tetapi apabila datang ke Kelantan saya kadang-kadang sedih, kadang-kadang malu pun ada, tapi nak buat tak mampu," katanya.

ADUN Kok Lanas itu mendakwa ketika ini masih ada penduduk di Kelantan "pergi berhibur" bersama anggota keluarga di sekitar lapangan terbang.

Boleh berehat lepas pencen

"Masih ada (rakyat) petang-petang (bawa) keluarga pergi berhibur di lapangan terbang, tengok kapal terbang turun, kapal terbang naik.

"Tidak ada dah dalam dunia ini penduduk mana-mana negeri yang bawa keluarga tengok kapal terbang turun dan naik," katanya.

Md Alwi berkata demikian pada sesi soal jawab mengenai belanjawan negeri itu.

Terdahulu Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob menjelaskan Kelantan kini menumpukan usaha meningkatkan tahap kebersihan, keceriaan dan kehijauan kawasan bandar dan luar bandarnya.

"Kita berusaha untuk menanam pokok-pokok, itulah antara keutamaan," katanya.

Sementara itu Md Alwi yang berkata, pihaknya mengalu-alukan hasrat kerajaan negeri sekali gus berharap lebih banyak taman rekreasi diwujudkan di negeri itu.

Katanya, ia akan menjadi destinasi rakyat untuk beriadah berbanding lapangan terbang.

"Tetapi apa nak buat itulah taman yang besar dan yang ada boleh dilihat.

"Saya mengalu-alukan rancangan kerajaan negeri dan kalau bolehlah, di Kota Bharu ada sebuah taman yang bagus boleh bawa anak-anak.

"Saya ada seorang cucu boleh bawa cucu pergi, dan di setiap bandar," katanya.

Beliau juga menegaskan usaha itu tidak susah untuk dilakukan jika kerajaan negeri ada komitmen yang tinggi untuk menjayakannya, selain faktor kewangan.

"Boleh panggil gotong-royong, tanam pokok duku, pauh atau asam gelugor pun.

"Saya nak dengar komitmen kerajaan mudah-mudahan dalam masa empat lima tahun ini, pada 2021 kita boleh tengok ada taman bila kita pencen nanti," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS