Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hishammuddin nafi mahu cari Jho Low untuk lari dari SPRM

Datuk Seri Hishammuddin Hussein menegaskan hasratnya untuk membantu kerajaan mencari ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low di China bukan kerana ingin lari daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas menteri pertahanan itu berkata beliau yakin tidak terlibat dengan sebarang skandal rasuah yang memerlukan SPRM untuk memburunya seperti yang didakwa pihak tertentu.

"Apa yang SPRM ada (dakwaan) terhadap saya? Saya tak rasuah, kalau nak siasat, kenapa SPRM sampai hari ini tak ada panggil saya pun?

"Dalam hal ini saya tak bimbang orang nak cakap apa, cakaplah kalau mereka kata saya takut dengan SPRM biar SPRM sendiri dedahkan adakah perkara yang mereka nak siasat terhadap diri saya," katanya ketika ditemui media di lobi parlimen,hari ini.

Tambah anggota parlimen Sembrong itu lagi, beliau akan bekerjasama dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam menyalurkan segala maklumat yang diperoleh berkaitan Jho Low.

"Beliau (Mohamad Fuzi) juga telah buat kenyataan sebelum ini bahawa beliau mengalu-alukan apa usaha yang saya boleh secara peribadi bantu mereka dalam siasatan berhubung kait dengan individu berkenaan (Jho Low)," katanya.

Hishammuddin bagaimanapun menjelaskan beliau belum berkesempatan untuk ke China bagi mencari Jho Low.

“Saya tak ada masa sekarang ini tetapi hubungan saya dengan rakan-rakan di sana telah pun dimaklumkan bahawa saya akan ke China dan saya tengok bahawa mereka masih lagi mempunyai hubungan yang agak rapat dengan diri saya sendiri.

"Tapi saya tak tahu sebenarnya sama ada Jho Low ini masih ada China atau tidak dan kalau masih berada di China mengapa pihak China tak menyerahkan Jho Low kepada kita? Sebab itu saya difahamkan juga bahawa hubungan antara polis kita (PDRM) kita dengan pihak polis di sana juga telah pun diwujudkan satu rangkaian yang agak erat," katanya.

Manakala mengulas kos perbelanjaan beliau ke China, Hishammuddin sekali lagi menegaskan usaha itu dilakukan secara peribadi dan akan mengeluarkan belanja sendiri.

"Kalau kita melihat ke hadapan mesti ada penutup kepada kontroversi 1MDB ini.

"Sekiranya semua orang setuju bahawa Jho Low ini merupakan kritikal dalam mencari penyelesaian dan penutup kepada isu 1MDB, saya bantu kalau kata peribadi dan saya biayai sendiri," katanya.

Sebelum ini Hishammuddin menawarkan diri untuk mencari Jho Low di China bagi menyelesaikan skandal 1MDB.

Hishammuddin berkata, Putrajaya tidak meminta bantuannya, tetapi beliau menawarkan diri membantu kerajaan atas kapasiti peribadi menggunakan hubungan terdahulunya dengan pemimpin China.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS